Isnin, 23 Jun 2014

Hari Raya Aidil Adha Di Sambut Penuh Kesyukuran Kepada Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada tarikh 10 Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha yang merupakan hari kebesaran bagi umat Nabi Muhammad SAW . Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.)

Kita akan sambut kedatangan hari kebesaran umat Islam pada 10 Zulhijjah 1434 iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji pada hari Selasa , 15 Oktober, 2013. 

Pada malam 10 Zulhijjah adalah malam untuk beribadah, bertakbir, berzikir , beristighfar dan berdoa kerana salah satu malam yang mustajab doa adalah malam Hari Raya Aidil Adha.

Imam syafie pernah menyebut dalam kitabnya Al-Um, bahawasanya ada 5 malam yang mana sangat mustajab untuk berdoa :
1) malam Jumaat 
2) malam Aidil Fitri 
3) malam Aidil Adha 
4) malam awal Bulan Rejab 
5) malam Nisfu Syaaban.

Hari Raya Aidil Adha (عيد الأضحى) atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban, merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam. Hari Raya Aidil Adha disambut pada hari ke 10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Sahabat yang dimuliakan,
Hari Raya Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Hari Tasyrik merupakan hari-hari yang jatuh pada tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ia di namakan Tasyrik kerana pada hari tersebut daging korban dibahagikan. Hari-hari Tasyrik ini merupakan hari yang dimuliakan oleh Allah SWT dan memiliki keutamaan. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang terbilang." (Surah al-Baqarah (2) ayat 203)
  
Dalam Tafsir Ibn Kathir telah dibawa sebuah riwayat Daripada Ibn ‘Abbas r.a yang berkata: "Beberapa hari yang terbilang (dalam hadis di atas) adalah hari-hari Tasyrik". Dalam kitab tersebut Ibn Kathir r.h telah membawa sebuah riwayat daripada Nubayshah Al-Hudzali, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: "Hari Tasyrik ialah hari untuk makan, minum dan berzikir." (Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 19797)

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Aisyah meriwayatkan, bahwa Nabi SAW bersabda : "Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam pada hari nahr yang lebih dicintai Allah, selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan). Dan haiwan yang disembelih itu kelak di hari kiamat akan datang (menemui orang yang korban) lengkap dengan tanduk, kuku dan sepatu kakinya. Dan sesungguhnya darah akan diterima Allah  sebelum darah itu jatuh ke tanah. Kerana itu lakukanlah korban itu dengan seikhlas mungkin. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Dari hadis ini jelaslah bahawa haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang menemui orang yang berkorban lengkap dengan tanduk, kuku dan sepatu kakinya. Itulah kebaikan korban di akhirat. Sementara di dunia dapat memberikan dagingnya kepada orang-orang miskin dengan ini akan mendapat pahala sedekah. Kerana sasaran utama daging korban adalah untuk fakir miskin bukannya untuk orang kaya, bahkan yang berkorban pun boleh memakannya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di Padang Arafah, di luar bandar Makkah.

Pada hari raya, umat Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi Hari Raya Aidil Adha, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri. Di pagi hari sebelum berangkat ke masjid untuk Hari Raya Aidil Fitri di sunatkan menjamah sedikit makanan tetapi sebaliknya di pagi Hari Raya Aidil Adha tidak disunatkan menjamah makanan.

Selepas bersembahyang sunat Aidil Adha, upacara korban akan dimulakan. lembu, kambing, dan biri-biri atau unta yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim a.s untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Sahabat yang dikasihi,
Aidil Adha adalah hari kebesaran yang mempunyai sejarah yang besar untuk umat Islam iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. keatas anaknya Nabi Isamil a.s atas perintah Allah SWT Pada Aidil Adha ini juga berlaku perlaksanaan Ibadah Haji di Makkah al-Mukaramah ianya merupakan perlaksanaan Rukun Islam yang ke lima.


Oleh itu marilah sama-sama kita sambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini dengan penuh kesyukuran dan ketakwaan kepada Allah SWT, setelah mengerjakan solat sunat Aidil Adha kita teruskan bersama-sama menjalankan ibadah korban iaitu sembelihan binatang ternak dan selepas itu ziarah menziarahi sesama saudara muslim dan bermaaf-maafan sesama kita. Dan terus bertakbir memuji Allah SWT.pada 10 Zulhijjah dan  pada hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah untuk mencari keredaan Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan