Isnin, 23 Jun 2014

Ciri-ciri Mulia Untuk Memasuki Syurga Allah SWT.

Hayati 13 Ciri-ciri Mulia Untuk Memasuki Syurga Allah SWT.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah SWT menyediakan syurga seluas langit dan bumi untak hamba-hamba-Nya yang memenuhi beberapa ciri-ciri mulia yang dinyatakan sendiri oleh Allah SWT. Kita perlulah berdoa kepada Allah SWT semoga  dipilih oleh-Nya untuk memasuki syurga .

Pertama. Untuk orang yang bertakwa.

Firman Allah  SWT yang bermaksud: ‘Dan bersegeralah kamu semua menuju keampunan daripada Tuhanmu dan juga menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang bertakwa’. (Surah Ali ‘Imran, ayat 133).

Kedua : Untuk orang yang mendapat keampunan Allah SWT dan yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya." (Surah al-Hadid ayat 21)

Ketiga : Untuk orang-orang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka syurga-syurga sebagai tempat mereka kembali’. (Surah al Sajdah, ayat 19).

Keempat : Untuk orang takut kepada Allah dan tidak mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "dan adapun orang yang takutkan kedudukan Tuhannya dan menahan kemahuan dirinya daripada mengikut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurga adalah tempat kembali baginya" (Surah al-Naazi'at ayat 40)

Kelima : Untuk orang yang bertaubat dan beramal soleh.

Di dalam surah Ghafir, Allah SWT menceritakan tentang doa yang dipohon oleh malaikat kepada orang-orang yang beriman maksudnya : "Wahai Tuhan kami, Engkau meliputi semua perkara dengan rahmatMu dan ilmuMu. Maka ampunkanlah orang-orang yang bertaubat dan mengikut jalanMu dan jauhilah mereka daripada azab neraka. Wahai Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga-syurga Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan kepada orang-orang yang soleh dari kalangan bapa-bapa mereka, isteri-isteri mereka dan zuriat mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana" (Surah Ghafir ayat 7-8)

Keenam : Untuk orang mukmin yang mengikuti cara kehidupan sahabat-sahabat Rasulullah SAW iaitu Muhajirin dan Ansar.  

Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Dan orang-orang yang terdahulu daripada kalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah telah reda kepada mereka dan mereka juga telah reda kepada Allah. Dan Allah telah sediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kejayaan yang besar" (Surah al-Taubah ayat 100)

Ketujuh : Orang yang menyeru kepada kebaikan dan mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka (orang-orang kafir) mengajak ke neraka, sedang Allah menyeru (manusia) ke syurga dan keampunan dengan izinNya". (Surah al-Baqarah ayat 221)

Kelapan : Orang yang berjaya dipilih oleh Allah SWT untuk dijauhkan daripada neraka (menjauhkan diri daripada dosa-dosa besar dan kecil).

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangsiapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya". (Surah Ali Imran ayat 185)

Kesembilan : Orang yang infak dan bersedekah hartanya di jalan Allah SWT dan berjihad di jalan-Nya.      

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga. Mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar".(Surah at-Taubah ayat 111)

Kesepuluh : Orang yang berbahagia (diampunkan dosa-dosanya dan mendapat rahmat Allah SWT)  di sisi Allah SWT.          

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adapun orang yang berbahagia (di akhirat) maka tempatnya di dalam syurga". (Surah Hud ayat 108)

Kesebelas : Orang yang berhikmah (berilmu) dan beramal soleh.       

Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah aku bahan percakapan yang baik bagi orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah aku di kalangan orang-orang yang mempusakai syurga yang penuh kenikmatan". (Surah asy-Syu'ara ayat 83-85)

Kedua belas : Orang yang sabar ketika berhadapan dengan orang yang zalim.       

Di dalam surah al Tahrim, ayat 11 tendapat doa isteri Firaun yang solehah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Allah menjadikan isteri Firaun sebagai perumpamaan bagi orang-orang yang beriman. Ketika ia berkata: 'Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam syurga. Dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim'.". (Surah at-Tahrim ayat 11)

Ketiga belas :  Orang yang memiliki jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu".(Surah al-Fajr ayat 30)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berusaha untuk memenuhi 13 ciri-ciri ahli syurga yang terdapat di dalam al-Quran. Iaitu orang yang beriman, beramal soleh, bertaubat, berbahagia, bersedekah, berjihad, menyeru kepada kebaikan, berilmu, bersabar , tidak mengikuti hawa nafsu dan jiwa yang tenang (mutmainnah).

Untuk memenuhi ciri-ciri tersebut perlulah kepada proses tarbiah imaniah yang akan mendidik hati dan jiwa kita untuk sentiasa beriman dan berhubung denga Allah SWT. Kita perlu istiqamah dengan Islam dan yakin dengan janji-janji Allah SWT kerana sesungguhnya Dia tidak akan memungkiri janji-janji-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih memasuki syurga Allah SWT dia adalah orang-orang yang amat beruntung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan