Amalan-Amalan Di Bulan RamadhanHafiz Firdaus Abdullah
|
Seks Di Siang Ramadhan
(Baca Di Malam Ramadhan)
Oleh:
Hafiz Firdaus Abdullah
Saya yakin hampir semua muslim mengetahui hukum seks di siang Ramadhan. Ia dilarang, sebagaimana dilarang juga makan dan minum berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمْ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ
مِنْ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنْ الْفَجْرِ
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ.
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang)
dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
[al-Baqarah 2:187]
Saya juga yakin hampir semua muslim mengetahui hukuman kafarat ke atas orang yang melakukan seks di siang Ramadhan, iaitu sama ada membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin. Hukuman kafarat ini berdasarkan hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ
إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ!
قَالَ: وَمَا أَهْلَكَكَ؟
قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ.
قَالَ: هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً؟ قَالَ :لاَ.
قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ.
قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ مَا تُطْعِمُ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ.
قَالَ: ثُمَّ جَلَسَ فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ
فَقَالَ: تَصَدَّقْ بِهَذَا.
قَالَ: أَفْقَرَ مِنَّا فَمَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَحْوَجُ إِلَيْهِ مِنَّا.
فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ
ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَأَطْعِمْهُ أَهْلَكَ.
Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki datang
menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:“Celakalah saya wahai Rasulullah!”
Rasulullah bertanya: “Apa yang mencelakakan kamu?”
Dia menjawab: “Saya telah melakukan hubungan seks dengan isteri saya pada (siang hari) bulan Ramadhan.”
Lalu Rasulullah bertanya: “Bolehkah kamu mencari seorang hamba untuk dibebaskan?” “Tidak!”
“Bolehkah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?” “Tidak!”
“Bolehkah kamu memberi makan kepada enam puluh orang miskin?” “Tidak!”
Kemudian dia duduk. Tatkala itu dibawakan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebakul kurma.
Rasulullah berkata kepadanya: “Sedekahkanlah (kurma) ini”.
Dia menjawab: “Adakah yang lebih miskin dari kami?
Tidak ada yang lebih miskin di antara dua lembah Madinah ini melainkan keluarga saya.”
Mendengar yang sedemikian Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketawa sehingga nampak gigi baginda.
Lalu baginda bersabda: “Pergilah dan berilah makan keluarga kamu (dengan kurma ini).”
[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1111-1 (Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan seks…)].
Akan tetapi hukum berkenaan seks di siang Ramadhan tidak semudah yang dijangkakan. Jika kita menelaah kitab-kitab fiqh keempat-empat mazhab dahulu dan kini, akan ditemui perbincangan yang terperinci dalam persoalan ini. Sekadar mampu saya telah mengkaji kitab-kitab tersebut dan hasil kajian saya permudahkan dalam risalah yang ringkas ini.
Maksud saya sebagai “permudahkan” ialah memudahkan cara untuk menyampaikan perbezaan pendapat yang berlaku di antara dan di dalam mazhab. Ini kerana jika kita mengkaji khazanah keempat-empat mazhab, akan ditemui mereka saling berbeza pendapat dalam sesuatu persoalan fiqh. Perbezaan ini berlaku bukan sahaja di antara mazhab tetapi dalam satu mazhab yang sama. Semua ini adalah normal kerana apabila kita berinteraksi dengan sesuatu subjek berdasarkan ilmu, pasti akan ada perbezaan pendapat.
Katakanlah terdapat satu persoalan hukum yang memiliki perbezaan pendapat sama ada ia makruh atau haram. Saya memiliki dua cara untuk menyampaikan perbezaan tersebut:
Cara mana yang lebih mudah dan mesra kepada para pembaca awam? Tentunya cara kedua. Ada pun para pembaca yang inginkan pandangan setiap mazhab secara berasingan, dia boleh merujuk kepada kitab-kitab mazhab tersebut dalam bab yang dibincangkan. Lebih lanjut berkenaan cara berinteraksi dengan mazab-mazhab fiqh yang empat ini, sila rujuk buku saya Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
Kembali kepada persoalan seks di siang Ramadhan, secara umumnya terdapat dua perkara yang perlu diperincikan.Pertama berkenaan aktiviti seks yang dilakukan manakala kedua berkenaan hukuman kafarat yang dikenakan.
Bahagian A: Aktiviti Seks Yang Mewajibkan Kafarat.
Terdapat beberapa pecahan tentang aktiviti seks dan kaitannya dengan hukuman kafarat. Ia adalah seperti berikut:
A-1: Seks Yang Disepakati Hukuman Kafarat.
Sesiapa yang melakukan hubungan seks dalam bentuk lelaki memasukkan zakar ke dalam faraj wanita, maka puasanya batal dan dia dikenakan hukuman kafarat tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak. Sejauh yang saya kaji, tidak ada perselisihan di kalangan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam hukum ini.
A-2: Seks Yang Diperselisihkan Sama Ada Dikenakan Kafarat Atau Tidak.
Para ilmuan dari keempat-empat mazhab: al-Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hanbali memiliki perbincangan yang meluas berkenaan hukuman kafarat bagi aktiviti seks selain A-1. Sebelum menyenaraikan aktiviti seks yang dimaksudkan, ingin saya gariskan bahawa sebahagian daripada aktiviti seks tersebut ada yang haram hukumnya. Hanya dalam risalah ini, saya tidak membincang halal atau haram aktiviti tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada wajib atau tidak hukuman kafarat bagi sesiapa yang melakukannya. Hukum halal atau haram boleh dirujuk kepada sumber-sumber yang membicara Fiqh al-Mubasyarah secara khusus.
Aktiviti seks selain A-1 yang dimaksudkan adalah:
Bagi aktiviti-aktiviti seks di atas, para ilmuan bersepakat bahawa ia membatalkan puasa. Akan tetapi mereka terbahagi kepada dua pendapat berkenaan hukuman kafarat:
Di antara dua pendapat di atas, yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua. Ini kerana aktiviti seks wujud dalam pelbagai bentuk dan cara, dimana kesemuanya memberi kepuasan seksual kepada pelakunya. Padahal ibadah puasa ialah menahan diri dari makan, minum dan seks dari waktu fajar sehingga maghrib. Ia bukan makanan dan minuman tertentu sahaja tetapi meliputi semua jenis makanan dan minuman. Demikian juga bagi seks, ia bukan aktiviti seks yang melibatkan zakar yang dimasukkan ke dalam faraj sahaja, tetapi melibatkan apa jua aktiviti yang masuk dalam kategori “seks”.
A-3: Beberapa Pengecualian Dan Kelonggaran.
Terdapat beberapa aktiviti atau kes yang dikecualikan atau diberi kelonggaran, iaitu:
Apabila kamu melihat air mazi, maka basuhlah kemaluan kamu
dan berwudhu’lah sebagaimana kamu berwudhu’ untuk solat.
A-4: Sengaja Berbuka Puasa Untuk Melakukan Aktiviti Seks.
Para ilmuan berbeza pendapat berkenaan orang yang ingin melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan, lalu dia sengaja makan, minum atau musafir untuk berbuka puasa demi melakukan aktiviti seks tersebut. Terdapat dua pendapat di kalangan para ilmuan:
1. Dia tidak diwajibkan kafarat.
2. Dia diwajibkan kafarat.
Pendapat yang rajih (kuat) ialah dia tetap diwajibkan kafarat kerana pada hakikatnya, dia melakukan hubungan seks dalam keadaan berpuasa. Ada pun tindakannya untuk membatalkan puasa, ia hanya satu muslihat untuk menghalalkan sesuatu yang diharamkan pada siang Ramadhan. Orang yang melakukan muslihat tersebut, dia tidak lain hanya menipu dirinya sendiri:
يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا
وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ.
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman,
padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. [al-Baqarah 2:09]
Tindakannya tidak berbeza dengan orang yang ingin mencuri duit di dalam bank, lalu dia membuat sebuah buku akaun yang palsu. Dengan buku akaun tersebut, dia dapat mengeluarkan duit. Dari sudut teknikal, dia dikira “mengeluarkan duit (cash withdrawal). Akan tetapi dari sudut hakikat, dia sebenarnya mencuri sesuatu yang bukan miliknya. Dia adalah seorang pencuri yang mencuri secara muslihat. Jika dihadap ke mahkamah, dia akan dijatuhkan hukuman sebagai pencuri.
A-5: Tidak Berpuasa Atas Alasan Syar‘i, Kemudian Melakukan Aktiviti Seks.
Katakanlah, ada pasangan suami isteri yang tidak berpuasa Ramadhan kerana alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Suami tidak berpuasa kerana diserang sakit kepala yang amat dahsyat (migraine) manakala isteri pula tidak berpuasa kerana berada dalam tempoh haid. Kemudian pada pukul sebelas pagi suami sembuh dari sakit kepalanya dan pada pukul satu tengah hari isteri suci dari haidnya. Apa hukumnya jika pasangan suami isteri ini ingin melakukan aktiviti seks pada pukul tiga petang?
Terdapat dua pendapat di kalangan para ilmuan terhadap persoalan ini:
Pendapat yang rajih (kuat) ialah mereka boleh melakukan aktiviti seks tanpa dikenakan hukuman kafarat. Mereka telah mendapat kelonggaran (rukhsah) dari syari‘at Islam untuk tidak berpuasa pada hari tersebut kerana alasan-alasan yang tidak mereka sengajakan. Maka sekali pun alasan-alasan itu telah hilang, kelonggaran tetap diberikan kepada mereka sepanjang hari tersebut untuk makan, minum dan dalam persoalan ini, melakukan aktiviti seks.
Bahagian B: Beberapa Perincian Berkaitan Kafarat.
Seseorang yang telah melakukan aktiviti seks yang mewajibkan hukuman kafarat hendaklah memerhatikan beberapa perincian berikut berkenaan hukum kafarat itu sendiri:
B-1: Hukum Kafarat Untuk Seks Berbilang Kali.
Para ilmuan meneliti hukum mengenai orang yang melakukan seks berbilang kali, seperti:
Dalam penelitian tersebut, ada yang menghitung hukuman kafarat berdasarkan bilangan aktiviti seks yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Sebahagian yang lain pula menghitung jumlah hari aktiviti seks dilakukan sepanjang Ramadhan, tanpa menghitung bilangan yang dilakukan dalam sehari.
Pendapat yang rajih (kuat) ialah hukuman kafarat dihitung mengikut jumlah hari dan bukannya bilangan seks. Ini kerana kafarat adalah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan hubungan seks ketika berpuasa di siang hari. Ia tidak berkaitan dengan bilangan aktiviti seks, tetapi merujuk kepada aktiviti seks itu sendiri dalam sehari. Maka bagi kes pertama dan kedua di atas, pelaku hanya dikenakan hukuman kafarat sekali sementara bagi kes ketiga, pelaku dikenakan hukuman kafarat tiga kali.
B-2: Cara Melaksanakan Hukuman Kafarat.
Cara melaksanakan hukuman kafarat adalah seperti berikut:
Ada pun ukuran orang miskin, maka ia adalah berdasarkan penilaian orang yang dikenakan hukuman kafarat. Memadai penilaian secara zahir, tidak perlu meminta penyata gaji atau melakukan temuduga kepada orang miskin yang bakal diberikan makanan.
B-3: Jika Tidak Mampu Melaksanakan Kafarat.
Orang yang tidak mampu melaksanakan kafarat memiliki dua pilihan:
Kedua-dua pilihan ini adalah berdasarkan hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu menerangkan berkenaan orang lelaki yang melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan tetapi tidak mampu melaksanakan mana-mana dari tiga hukuman kafarat yang dikenakan ke atasnya. Sekali pun tidak mampu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melepaskan dia, sebaliknya hanya mendiamkan diri. Ini menunjukkan dia tetap wajib melaksanakan kafarat.
Dia juga boleh mewakilkan, yakni meminta orang lain yang mampu untuk memberi makanan kepada enam puluh orang miskin. Ini berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mengambil sebakul kurma yang dihadiahkan kepada baginda dan memberikannya kepada lelaki yang tidak mampu tersebut. Di sini, Rasulullah telah memberi makanan kepada enam puluh orang miskin bagi pihak lelaki yang tidak mampu tersebut.
B-4: Hukuman-Hukuman Kafarat, Adakah Ia Secara Tertib Atau Pilihan?
Ketiga-tiga hukuman kafarat, iaitu membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut dan memberi makan enam puluh orang miskin, adakah ia secara tertib atau pilihan?
Di kalangan para ilmuan, ada yang berpandangan ia dilaksanakan secara tertib. Seseorang yang dikenakan hukuman kafarat hendak berpuasa dua bulan hari berturut-turut. Jika tidak mampu, barulah dia pergi ke tertib seterusnya, iaitu memberi makan enam puluh orang miskin. Mereka menggunakan hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai dalil, dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepada lelaki yang melakukan aktiviti seks hukuman-hukuman kafarat secara tertib.
Sebahagian ilmuan yang lain berpandangan ia dilaksanakan secara pilihan. Seseorang yang dikenakan hukumankafarat boleh memilih sama ada berpuasa dua bulan hari berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin. Dalil mereka ialah hadis sama yang diriwayatkan dalam lafaz yang menggunakan perkataan “atau”:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ رَجُلاً
أَفْطَرَ فِي رَمَضَانَ أَنْ يُعْتِقَ رَقَبَةً
أَوْ يَصُومَ شَهْرَيْنِ أَوْ يُطْعِمَ سِتِّينَ مِسْكِينًا.
Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan lelaki
yang melakukan aktiviti seks di (siang) Ramadhan untuk memerdekakan hamba
atau berpuasa dua bulan atau memberi makan enam puluh orang miskin.
[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1111-3 (Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan seks…)].
Pendapat yang rajih (kuat) ialah secara tertib, kerana jika dikaji kesemua hadis-hadis dalam bab ini, akan didapati jumlah jalan periwayatan dengan lafaz tertib adalah jauh lebih banyak dari jalan periwayat dengan lafaz pilihan (“atau”).
Justeru bagi orang yang melakukan aktiviti seks yang mewajibkan hukuman kafarat, hendaklah dia mempertimbangkan hukuman berpuasa selama dua bulan hari secara berturut-turut terlebih dahulu. Antara yang turut dipertimbangkan adalah kemampuan dia untuk menahan diri dari melakukan aktiviti seks di siang hari selama dua bulan. Jika tidak mampu, barulah dia beralih kepada hukuman memberi makanan kepada enam puluh orang miskin.
B-5: Adakah Kafarat Dikenakan Atas Suami Sahaja Atau Suami Dan Isteri?
Terhadap pasangan suami isteri yang melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan, adakah hukuman Kafaratdikenakan di atas suami sahaja atau suami dan isteri? Persoalan ini berpaksi kepada hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang dikemukakan di awal risalah ini, dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendiamkan isteri lelaki yang datang berjumpa baginda. Sikap diam baginda menimbulkan dua pandangan di kalangan para ahli ilmu:
Di antara dua pandangan di atas, saya memilih yang di pertengahan. Lelaki dikenakan hukuman kafarat bagai aktiviti seks yang dilakukan bersama isterinya. Ada pun isteri, maka dia tertakluk kepada tiga keadaan:
Kesimpulan.
Keliru kerana terlalu banyak perincian hukum dan perbezaan pandangan dalam perincian tersebut? Atau ada persoalan seks yang tidak terjawab dalam risalah ini? Ada pilihan lain yang mudah, iaitu jangan melakukan apa-apa aktiviti seks di siang Ramadhan. Bahkan jangan menghampiri apa-apa yang bersifat seksual di siang Ramadhan. Pilihan ini disebut sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di akhir ayat 187 surah al-Baqarah. Setelah menyebut larangan daripada seks, makan dan minum dari fajar hingga maghrib, Allah berfirman:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا.
Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. [al-Baqarah 2:187]
Ini adalah pilihan yang lebih mudah, baik dan selamat, yang juga menjadi kesimpulan kepada risalah Seks Di Siang Ramadhan.
|
budi baik dibalas baik. tidak rugi berbuat baik pada orang dan berbuat jahat jangan sesekali.
Jumaat, 20 Jun 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan