Isnin, 23 Jun 2014

Golongan Akan Masuk Syurga.

Tiga Golongan Akan Masuk Syurga.

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْبِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setelah berlaku hari kiamat semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib dan masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar (Padang Mahsyar). Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

Ketika itu  manusia akan terbahagi kepada dua belas  barisan . Manusia akan dikumpulkan mengikut bariasan masing-masing bergantung kepada amalan kebaikan atau  keburukan yang mereka lakukan ketika berada di dunia. Sebelas barisan adalah mereka yang berdosa dan akan di seksa disebabkan dosa-dosa mereka ketika di dunia dan hanya satu barisan sahaja yang akan selamat iaitu mereka digiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang berama soleh dan banyak berbuat baik.

Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat ampunan, kasih sayang dan keredaan Allah Yang Maha Pengasih."

Sahabat yang dimuliakan,
Di kalangan orang yang beriman terbagi kepada 3 golongan yang akan memasuki syurga
iaitu :

Pertama : Memasuki syurga tanpa hisab.

Kedua : Memasuki syurga  setelah dihisab.

Ketiga : Memasuki syurga setelah diazab terlebih dahulu di neraka.

Huraiannya :

Pertama : Memasuki syurga tanpa hisab :

Nabi Muhammad SAW bersabda tentang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa azab. Baginda bersabda maksudnya : “Beberapa umat ditampakkan kepadaku, lalu kulihat seorang nabi bersama beberapa orang, ada seorang nabi bersama satu atau dua orang, dan ada seorang nabi yang tidak disertai siapapun. Tiba-tiba ditampakkan kepadaku satu golongan dalam jumlah yang amat banyak, sehingga aku mengira mereka adalah umatku. Maka ada yang memberitahukan kepadaku, ‘Ini adalah Musa dan kaumnya.’

Aku melihat lagi, ternyata di sana ada jumlah yang lebih ramai lagi. Ada yang memberitahukan kepadaku, ‘Itulah umatmu, tujuh puluh ribu orang di antara mereka masuk syurga tanpa hisab dan tanpa azab.’

Kemudian baginda bangkit dan masuk rumah. Maka orang-orang berkumpul bersama orang-orang yang sudah berkumpul. Sebagian mereka mengatakan, ‘Barangkali mereka adalah para sahabat Rasululluh SAW.’ Sebagian yang lain mengatakan, ‘Boleh jadi mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam Islam dan tidak menyekutukan sesuatu pun beserta Allah.’

Mereka pun mengatakan banyak hal. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka dan mereka memberitahukan kepada baginda. Maka baginda bersabda, ‘Mereka adalah orang-orang yang tidak meminta ruqyah, tidak meminta untuk (berubat dengan cara) disundut dengan api, dan tidak melakukan tathayyur, serta mereka bertawakal kepada Allah.’

Lalu ‘Ukkasyah bin Mihshon berdiri dan berkata, ‘Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku termasuk golongan mereka.’ Baginda bersabda, ‘Engkau termasuk golongan mereka.’ Kemudian ada orang lain berdiri dan berkata, ‘Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku termasuk golongan mereka.’ Baginda bersabda, ‘Engkau sudah didahului ‘Ukasyah.’” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di antara pelajaran paling berharga yang boleh dipetik dari hadis ini adalah bahawa tidak meminta ruqyah, tidak berubat dengan cara disundut dengan besi panas (kayy), dan tidak menganggap akan mengalami kesialan setelah mendengar atau melihat sesuatu (tathoyyur) merupakan wujud dan realisasi dari tawakkal kepada Allah. Kerana itulah Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya agar tidak melakukan ketiga hal tersebut, kerana pengaruh ruqyah dan kayy yang sangat kuat sehingga dikhawatirkan seorang hamba menggantungkan harapan kesembuhannya kepada cara pengubatan tersebut dan bukannya bersandar kepada Allah. Khusus untuk tathoyyur maka hukumnya tidak diperbolehkan.

Kesimpulannya, keadaan orang yang akan masuk syurga sangat tergantung dari kadar tawakkal setiap orang, semakin tinggi tingkat tawakkalnya semakin tinggi pula tingkat kesempurnaan tauhidnya. Allahlah tempat kita bersandar dan menyerahkan urusan.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Apabila telah datang hari kiamat, maka didatangkan 4 golongan
manusia di sisi pintu syurga tanpa dihisab dan diseksa, mereka
ialah ;

1. Orang alim yang mengamalkan ilmunya.
2. Seorang haji yang sewaktu menunaikan haji tidak melakukan
sebarang perkara yang membatalkan hajinya.
3. Orang yang mati syahid di dalam peperangan.
4. Dermawan yang mengusahakan harta yang halal dan membelanjakannya
di jalan Allah tanpa riyak.

Keempat-empat golongan ini berebut-rebut untuk mendahului memasuki syurga, kemudian Allah memerintahkan kepada Jibrail a.s. menghakimi mereka.

Berkata Jibrail a.s. kepada orang mati syahid, “Apakah yang telah kamu lakukan sewaktu di dunia sehingga kamu hendak masuk ke syurga?”

Berkata orang yang mati syahid, “Aku telah terbunuh dalam peperangan kerana mencari keredaan Allah.”

Berkata Jibrail a.s., “Dari siapa kamu mendapat tahu tentang pahala orang yang mati syahid?”

Orang yang mati syahid menjawab,”Aku mendengar daripada alim ulama.”

Berkata Jibrail a.s lagi, “Jagalah kesopanan, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian Jibrail a.s. bertanya kepada yang mengerjakan haji, “Apakah yang kamu telah lakukan di dunia dahulu sehingga kamu hendak masuk ke syurga?”

Berkata yang berhaji,”Aku telah menunaikan haji semata-mata kerana Allah.”

Berkata Jibrail a.s., “Siapakah yang memberitahu kamu tentang pahala haji?”

Berkata yang berhaji, “Aku mendengar dari alim ulama.”

Berkata Jibrail a.s. lagi, “Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Berkata Jibrail a.s. kepada penderma pula, “Apakah yang kamu lakukan sewaktu kamu di dunia dulu?”

Menjawab si penderma, “Aku telah banyak menderma semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.”

Jibrail a.s.. berkata lagi, “Siapakah yang memberitahumu tentang pahala orang yang menderma kerana Allah?”

Berkata si perderma, “Aku mendengarnya dari para alim ulama.”

Maka Jibrail a.s. pun berkata, “Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian orang alim berkata, “Ya Tuhanku, tidaklah boleh aku menghasilkan ilmu kecuali dengan sebab sifat kasih dermawan dan kebaikan orang yang dermawan itu.”

Lalu Allah SWT. berfirman yang bermaksud, “Telah benar kata si alim itu, bukakanlah pintu syurga supaya si dermawan masuk dahulu. Kemudian barulah orang-orang lain masuk.”

Kedua : Memasuki syurga  setelah dihisab.

Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Apabila habis orang-orang yang disoal oleh Tuhan yang Maha Adil;  maka suratan amal manusia dikeluarkan untuk diberi ke tangan masing-masing yang apabila menerimanya ia dapati suratan amalnya itu terbuka,  boleh ditatap dan dibaca olehnya sendiri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan setiap manusia telah Kami kalungkan (catatan) amal perbuatannya dilehernya. Dan pada hari kiamat Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka. 'Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung atas dirimu." ( Surah al-Isra' ayat 13-14 )

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Adapun orang yang kitabnya diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, "Ambillah, bacalah kitabku (ini)."
(Surah al-Haqqah ayat 19)

Golongan  yang telah mengambil buku catatannya dengan tangan kanan akan mempunyai timbangan kebaikan lebih berat daripada timbangan kejahatan , maka golongan ini akan masuk ke syurga setelah melalui Titian Siratal Mustaqim.

Ketiga : Memasuki syurga setelah diazab terlebih dahulu di neraka.

Setelah berlaku timbangan amal. Di timbangan amal kebaikan dan kejahatan maka sekiranya amal kejahatannya melebihi (lebih berat) daripada amal kebaikannya maka dia akan dimasukkan kedalam neraka terlebih dahulu untuk membersihkan segala dosa-dosanya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang ikehendakiNya. Barangsiapa  yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar” (Surah an-Nisa 48 )

Berdasarkan ayat di atas Ahlus Sunnah wal Jama’ah berpendapat seseorang yang mati walaupun melakukan dosa besar  tetapi masih ada sedikit imannya (tidak syirik) dia tetap akan dapat masuk syurga setelah diseksa di dalam neraka untuk membersihkan dosa-dosanya  kepada Allah SWT.

Pada akhirnya, setiap muslim pasti akan masuk syurga, sebanyak apapun dosa-dosanya. Kerana Allah pasti akan menghitung sedikit kebaikannya meskipun tersembunyi jauh di dalam hatinya.

"Dari Anas r.a. bahwa Rasululluh SAW bersabda, 'Dikeluarkan dari neraka orang yang mengucapkan (Laa Ilaaha Illallah) dan didalam hatinya ada seberat biji zarrah dari kebaikan (iman)."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Dari Abi Said bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Bila ahli syurga telah masuk syurga dan ahli neraka telah masuk neraka, maka Allah SWT akan berkata, "Orang yang di dalam hatinya ada setitik iman, hendaklah dikeluarkan. Maka mereka pun keluar dari neraka."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan sebaliknya, setiap orang kafir pasti akan masuk neraka sebanyak apapun kebaikannya. Kerana mereka adalah orang-orang yang telah secara nyata menentang Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadap-Nya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal didalamnya." (Surah al 'Araf ayat 36)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita beramal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan semata-mata ikhlas kerana Allah SWT. Semoga kita tergolong dikalangan mereka yang masuk syurga tanpa hisab ataupun jika dihisab sekalipun hendaklah dengan hisab yang mudah dan di beri-Nya  buku catatan di tangan kanan. Semoga dijauhkan daripada golongan yang dimasukkan ke dalam neraka walaupun sebentar kerana dahsyatnya seksa neraka iaitu seksaan yang paling ringan adalah dipakaikan selipar neraka otak jadi mendidih kerana apinya terlampau panas. Nauzubillahiminzalik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan