Isnin, 23 Jun 2014

Air Mata Kerana Takutkan Allah Akan Dapat Memadamkan Api Neraka.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Berdasarkan hadis di atas 3 mata yang akan mendapat rahmat Allah S.W.T dihari akhirat yang mana ketika itu ramai mata-mata yang menangis penyesalan :

1. Mata yang dipejamkan dari segala yang haram.

2. Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah.

3. Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.

Huraiannya :

Pertama : Mata yang dipejamkan dari segala yang haram.

Terlalu banyak maksiat dilakukan oleh manusia melalui mata. Mata ini akan menjadi saksi di hari akhirat nanti kerana manusia menyalahgunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan melihat perkara yang haram. Dosa-dosa yang dilakukan oleh mata adalah seperti berikut :

1. mengekori aurat wanita/ lelaki.

2. melihat gambar/ dvd/ internet lucah.

3. menggunakan ilmu sihir melalui mata dan membaca mentera-mentera sihir untuk melakukan sihir kepada orang lain.

4. menulis, mengarang dan mencari bahan-bahan fitnah dan menyebarkan fitnah tersebut kepada orang lain.

5. mengintip rahsia dan mengambil gambar dan mendedahkan keaiban seseorang.

Apabila seseorang menggunakan matanya untuk melakukan apa saja perkara maksiat , sebenarnya matanya telah melakukan dosa. Tetapi apabila mata digunakan untuk solat, membaca al-Quran, menulis dan mengarang ilmu yang bermanfaat, melihat alam ciptaan Allah dan merasai keagungan-Nya dan perkara-perkara yang bermanfaat yang lain maka Allah S.W.T. akan mengurniakan pahala dan mata ini nanti akan merasai gembira di hari akhirat.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, nescaya Allah SWT mencerai-beraikan urusannya dan dijadikan kefakiran di hadapan kedua matanya dan Allah tidak memberinya dari harta dunia ini, kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kedua : Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah.

Jihad dijalan Allah adalah sebaik-baik amalan dilakukan semata-mata untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah. Tanpa jihad dan pengorbanan Islam tidak mampu ditegakkan dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.  Jika seseorang mati ketika berjihad mempertahankan daulah Islam, mempertahankan negaraIslam daripada diceroboh oleh orang kafir atau penyebaran dakwah Islam disekat oleh musuh Islam maka mati tersebut adalah mati syahid. Mati yang mulia dan akan dimasukkan oleh Allah S.W.T kedalam syurga tanpa hisab.

Mata yang berjaga malam ketika berjihad dijalan Allah S.W.T. untuk menjaga kepentingan Islam daripada diserang musuh adalah mata yang dirahmati Allah S.W.T. di hari akhirat nanti mata ini tidak akan menangis kesedihan. Mata yang mulia ini akan memberitahu Allah S.W.T. bahawa dia digunakan untuk mencari reda-Nya semasa di dunia dahulu.

Dalam realiti kita sekarang ini kita juga boleh qiyaskan bahawa kita berjaga malam untuk  mengawal kawasan  progrem-progrem  dakwah, tarbiah, motivasi, muqayam, tamrin dan rehlah dikawasan hutan atau tepi pantai adalah dikira sama dengan mengawal semasa jihad fisabilillah. Jihad untuk memberi kesedaran   dan kefahaman ilmu Islam adalah juga dikira sebagai kerja-kerja jihad dijalan Allah S.W.T.

Ketiga : Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.

Dari Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah s.a.w.  yang mana dia menyatakan tujuannya : "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat". Maka baginda s.a.w telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa yang engkau kehendak."

Dia berkata : "Siapa yang terselamat daripada dosa?"

Baginda S.A.W menjawab : "Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan."

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
"Bahawa tidak akan masuk Neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Di dalam kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seseorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka, maka salah satu daripada rambut-rambut matanya pun berkata : "Wahai Tuhanku ! Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda : 'Sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah , maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka', dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka, dengan berkata sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibrail a.s. mengumumkan : "Telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut"

Dalam sebuah kitab Bidayatul- Hidayah diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan di datangkan Neraka Jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat mengerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :
"Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat di seru kepada buku amalannya (di katakan padanya). Pada hari ini kamu di balas menurut apa-apa yang telah di kerjakan"
(Surah Al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengarkan kegeramannya api neraka dengan nyalaan apinya, dan di terangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat di dengar sejauh 500 tahun perjalanan.

Pada waktu itu akan berkata setiap orang hingga para Nabi-nabi dengan ucapan :

"Diriku, diriku" (selamatkan diriku ya Allah), hanya seorang Nabi sahaja yang akan berkata : "Umatku, umatku," baginda ialah Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Pada masa itu akan keluarlah api Neraka Jahim seperti gunung-gunung, umat-umat Nabi Muhammad S.A.W.  berusaha menghalanginya dengan berkata : "Wahai api ! Demi hak orang-orang yang solat. Demi hak orang-orang yang ahli bersedekah. Demi hak orang-orang yang kyusuk. Dan demi hak orang yang berpuasa, supaya engkau kembali !

Walaupun dikatakan demikian api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu Malaikat Jibrail berkata : Sesungguhnya api neraka itu menuju pada umat Muhammad S.A.W."

Kemudian Jibrail membawa semangkuk air dan Rasulullah S.A.W. meraihnya, dan berkata Jibrail a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah padanya."

Lalu baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah S.A.W.  pun bertanya kepada Jibrail a.s. :

"Wahai Jibrail! air apa itu?"

Maka berkata Jibrail, "Itulah air mata-air mata orang derhaka yang terdiri dari umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T.  Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya padamu agar engkau menyiramkan pada api itu, maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T. "

Telah bersabda Rasulullah S.W.T. yang bermaksud : "Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemukannya air mata."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita kita beramal soleh dengan mengikhlaskan hati kita kepada Allah S.W.T. Gunakanlah semua pancaindera kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Tanda kita bersyukur dengan nikmat kaki, tangan, hidung, mulut, telinga dan mata yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. maka kita gunakan pancaindera ini untuk mentaati-Nya. Nikmat mata kurniaan Allah S.W.T. adalah satu kurniaan yang besar, jika mata melihat yang halal dan mata menangis mengalirkan air mata kerana takutkan-Nya maka air mata ini akan dapat memadapkan kemarakkan api neraka. Salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy adalah seorang yang berdoa seorang diri menitiskan air mata penyesalan dan bertaubat kepada Allah S.W.T.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan