Orang Mukmin Sentiasa Melaksanakan Sebelas Amalan Fitrah (Sunah) Dalam Kehidupannya
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama fitrah yang amat mengutamakan kebersihan diri. Perkara ini telah menjadi sunnah dan amalan Rasulullah SAW. Sebagimana hadis daripada Nabi SAW.
Daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya “Sepuluh perkara yang dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur” (Hadis Riwayat Muslim)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sudah ditentukan waktu bagi kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam”.(Hadis Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah SAW. : "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."(Hadis sahih riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis-hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa 11 perkara fitrah (sunah) yang dituntut untuk dilaksanakan di dalam kehidupan.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Memotong misai.
Abdullah bin Umar berkata : Bersabda Rasulullah SAW : "Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai (kumis) kamu".(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan al Baihaqi.)
Kedua : Memelihara janggut.
Dari Abi Imamah : Bersabda Rasulullah s.a.w maksudnya : "Potonglah misai kamu dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahl al-Kitab. (Hadis Sahih Riwayat Ahmad dan at Tabrani.)
Ketiga : Bersugi (mengosok gigi).Dari Aisyah r.a. " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya ". ( Hadis Riwayat Al Baihaqi )
Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW. telah bersabda : " Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk ". (Hadis Riwayat Ahmad)
Berdasar hadis di atas Nabi SAW menekankan bahawa bersugi adalah satu amalan yang amat dituntut kerana sekiranya bersugi ini tidak menyusahkan umatnya Nabi SAW akan menyuruh melakukannya ketika berwuduk.
Bersugi merupakan sunnah Rasulullah SAW. Solat yang dikerjakan dengan bersugi adalah 70 kali lebih baik daripada solat yang dikerjakan tanpa bersugi. Di riwayatkan dalam sebuah hadis, " Hendaklah kamu mengambil berat tentang bersugi, kerana bersugi mempunyai 10 faedah:-
1. Membersihkan mulut.
2. Menjadi sebab keredhaan Allah SWT
3. Menyebabkan kemarahan syaitan.
4. Allah SWT dan para malaikat mengasihi orang yang bersugi.
5. Menguatkan gusi.
6. Menghilangkan gelema.
7. Mewangikan mulut.
8. Menghapuskan safra (sejenis penyakit).
9. Menguatkan pandangan mata.
10. Menghilangkan bau busuk mulut.
Keempat : Memasukkan air kedalam hidung.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya ; "Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu bersihkan lubang hidungmu sebanyak tiga kali kerana syaitan menetap di dalamnya."
Dari Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya ; "Jika salah seorang daripada kamu berwuduk maka hendaklah memasukkan air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya semula."
Kelima : Memotong kuku.
Mulakan kerat kuku tu mulai dengan Bismillah dan mulakan dengan jari kanan dulu baru jari kiri.
Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku kaki atau tangan. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan kekotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan akan dan boleh menghalang air ketika bersuci. Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang segala kekotoran atau najis akan terlekat padanya dan nescaya ia menjejaskan kesihatan.
Menurut Imam Syafie dan ulamaknya, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang bersaf, kemudian mengerjakan solat sunat, dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata apa-apa hinga selesai solat, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya” (Hadis Riwayat Ahmad).
Daripada Abu Hurairah maksudnya “Nabi SAW memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk solat” (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani).
Keenam : Membasuh sendi-sendi.
Membasuh sendi-sendi tangan dan kaki merupakan sunnah yang bukan hanya tertumpu kepada wuduk sahaja iaitu tiap-tiap pemisah-pemisah jari kerana ianya tempat berkumpulnya segala kotoran. Termasuk juga kotoran-kotoran di sekeliling telinga dan di dalam lubang telinga, kesemuanya perlu dihilangkan dengan basuhan kerana apabila ianya menjadi banyak akan memudaratkan kepada pendengaran. Begitu juga kotoran-kotoran yang di dalam hidung yang melekat di sisi-sisinya serta kotoran yang ada pada badan disebabkan peluh dan habuk. Dan juga celah-celah kelengkang perlu dibasuh kerana terkumpul peluh-peluh yang boleh menyebabkan berhimpunnya bakteria dan kuman.
Ketujuh : Mencabut bulu ketiak.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah SAW: "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."(Hadis sahih riwayat Muslim)
Mencabut bulu ketiak: iaitu pada bahagian bawah di hujung pangkal tangan, samada lelaki mahupun perempuan sunat mencabutnya dengan menghilangkan bulu-buluannya. Diharuskan juga mencukurnya kerana tujuannya adalah membersihkan sehingga tiada lagi kotoran padanya serta menghilangkan bauan daripadanya. Waktu yang disunatkan bercukur adalah selamamana bulu-buluannya panjang berdasarkan perbezaan situasi seseorang itu. Begitu juga disunatkan bermula dengan tangan kanan.
Kelapan : Mencukur bulu ari-ari.
Mencukur ari-ari di dalam hadis digunakan dengan nama istihdad kiasan bagi mencukur ari-ari, iaitu buluan yang tumbuh di sekeliling zakar lelaki dan qubul perempuan atau di bahagian atas kedua-duanya. Merupakan sunnah sepertimana hadis-hadis yang jelas diterangkan sebelumnya. Diharuskan juga mencabut, menggunting atau menghilangkannya dengan alat-alat seperti kapur dan sebagainya. Tetapi yang paling afdal adalah mencukur. Seseorang itu mestilah mencukur dengan sendirinya. Jangan dibiarkan bulu ari-ari ini selama 40 hari.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sudah ditentukan waktu bagi kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam”.(Hadis Riwayat Muslim)
Kesembilan : Bersuci dengan air (beristinjak).
Beristinjak menggunakan air sepertimana yang telah banyak dijelaskan dari hadis-hadis, iaitu beristinjak dengan air. Hukum bagi istinjak adalah wajib samada membuang air kecil atau besar, tetapi penggunaan air padanya merupakan di antara sunah-sunah fitrah.
Hadis Anas bin Malik r.a:Suatu ketika Rasulullah SAW masuk ke sebuah kebun. Baginda diekori oleh seorang kanak-kanak yang membawa bekas air bersamanya. Dia adalah seorang sahabat yang termuda di kalangan kami. Bekas air tersebut diletakkan berhampiran dengan pokok bidara. Setelah Rasulullah SAW selesai membuang air besar, baginda pun keluar menemui kami setelah beristinjak dengan menggunakan air tersebut.(Hadis Riwayat Muslim)
Kesepuluh : Berkumur-kumur.
Selain daripada berkumur-kumur semasa mengambil wuduk berkumur-kumur juga digalakkan sebelum hendak makan kerana dapat membersihkan mulut sebelum makan dan selepas makan supaya sisa-sisa makanan yang berada dimulut dapat dibersihkan.
Kesebelas : Berkhatan.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah SAW: "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."(Hadis sahih riwayat Muslim)
Hukumnya adalah wajib kepada lelaki dan perempuan berdasarkan sebutan di dalam hadis. Tiada ditegah daripada menyatakan wajib walaupun ianya adalah sunah fitrah. Terdapat padanya persamaan di dalam dua perkara yang berbeza.
Di antara dalil yang mewajibkannya seperti yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW bersabda Sayyidina Ibrahim telah berkhatan iaitu ketika umurnya 80 tahun.Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran (surah An-Nahlu ayat 123) maksudnya :“Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar”
Ini kerana, kalaulah ianya tidak diwajibkan, nescaya baginda tidak akan mendedahkan auratnya. Sekiranya bersunat itu sunah, nescaya tidak akan membuka aurat orang yang diharamkan mendedahkannya. Bahkan syarak memerintah memotong sebahagian anggota yang sempurna, sekiranya ia tidak diwajibkan, nescaya tidak diharuskan.
Imam Syafi’i rahimahullah dan qaul yang diputuskan oleh jumhur berkhatan itu wajib bagi lelaki dan perempuan.
Menurut pandangan dan kajian oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zadul Ma'ad, pandangan yang paling tepat adalah Rasulullah SAW.di khatankan oleh Abd Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda mengikut kebiasaan Arab.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalakan 11 amalan fitrah (sunnah) yang disuruh dan di laksanakan sendiri oleh Rasulullah SAW demi kebaikan dan kesihatan umat Islam. Umat Islam adalah umat terbaik dilahirkan di dunia ini menjadi contoh dan ikutan umat yang lain. Islam memberi penekatan untuk kesihatan zahir dan batin jika umat Islam mematuhi ajaran Islam maka mereka akan dipandang mulia dan menjadi qudwah hasanah di dalam masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan