Rabu, 2 Julai 2014

Beramal Soleh dan Tidak Syirik Kepada Allah SWT Akan Mendapat Rahmat-Nya di Hari Akhirat


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT yang bermaksud : Katakanlah (Muhammad) "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa". Maka sesiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangalah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi ayat 110)

Asbabun Nuzul ayat 110.

Ibnu Abbas r.a. menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki yang suatu ketika berkata ,"Wahai Rasulullah, aku ini tabah dalam berperang, mengharap reda Allah, dan aku ingin Allah mengetahui kedudukanku." Rasulullah SAW diam tidak menjawab sampai turun ayat ini.(Hadis Riwayat Hakim)

Ibnu Abu Hatim mengetengahkan sebuah hadis dan demikian pula Ibnu Abud Dunya di dalam kitab Al Ikhlash, yang kedua-dua-nya mengetengahkan hadis ini melalui Thawus. Thawus menceritakan bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW., "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku berada di sini dengan maksud untuk mengharapkan pahala dari Allah, dan aku ingin sekali melihat kedudukanku (pahalaku)".

Rasulullah SAW  tidak menjawabnya sedikit pun, hingga turunlah firman-Nya, "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabbnya." (Surah Al Kahfi ayat 110).

Hadis di atas diketengahkan pula oleh Imam Hakim di dalam kitab Al Mustadrak secara Maushul melalui Thawus yang ia terima dari sahabat Ibnu Abbas r.a. Imam Hakim menganggap hadis ini sahih dengan syarat Syaikhain.

Ibnu Abu Hatim mengetengahkan sebuah hadis melalui Mujahid yang menceritakan bahwa ada seseorang dari kalangan kaum Muslimin ikut berperang di jalan Allah, lalu ia menginginkan supaya dapat melihat kedudukan (pahala)nya. Maka Allah menurunkan firman-Nya, "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya..."(Surah Al Kahfi ayat 110).

Abu Na'im dan Ibnu Asakir di dalam kitab Tarikh mengetengahkan sebuah hadis melalui jalur periwayatan As Saddiyush Shaghir. yang ia terima dari Al Kalbiy yang ia terima dari Abu Shaleh dari sahabat lbnu Abbas r.a. yang menceritakan bahwa Jundub ibnu Zuhair mengatakan, "Jika seseorang telah solat, telah puasa atau telah bersedekah (maka ia pasti memperoleh pahala)".

Maka orang-orang pun menyebutnya dengan baik, dan hal ini menambah semangat Jundub di dalam menjalankan hal-hal tersebut, karena sebutan baik itu membuatnya senang. Maka turunlah firman-Nya mengenai peristiwa tersebut, yaitu, "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya ..."(Q.S. Al Kahfi, 110).

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdasarkan ayat diatas dan asbabun nuzul ayat tersebut jelaslah kepada kita bahawa sesiapa yang mengharapkan bertemu dengan Allah SWT di hari akhirat dalam keadaan Dia reda dan dikasihi-Nya maka dia perlulah melaksanakan dua perkara iaitu pertama ; melakukan amal soleh di dunia ini dengan sebaik-baiknya dan kedua; jangan sekali-kali menyekutukan Allah SWT. Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa sesiapa sahaja yang syirik kepada-Nya.

Pertama : Melakukan amal soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”(Surah An-Nahl ayat 97).

Amalan soleh beranika jenis. Ia mencakup segala perintah Allah Subhanahuwata’ala samada yang wajib ataupun yang sunat, samada dalam bidang ibadah ataupun dalam bidang muamalah. Maka, apabila seseorang muslim beramal kerana Allah Subhanahuwata’ala dan mengikuti petunjuk din Islam, maka beliau dianggap beramal soleh.

Amalan soleh yang paling penting ialah ibadah. Antara ibadah yang terpenting ialah solah, puasa, zakat dan haji. Ibadah-ibadah ini termasuk dalam rukun Islam, yang sama sekali yang tidak boleh diabaikan dan tidak boleh diremehkan.

Ibadah dalam Islam adalah merupakan tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Ibadah menjadi bukti pengakuan sebagai hamba terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Ibadah adalah hak Allah Subhanahuwata’ala ke atas hamba-Nya. Ibadah yang terpenting ialah solah.

Ibadah harus dipelihara sebaik-baiknya. Ibadah tidak boleh dianggap remeh. Ibadah, secara umumnya, untuk menanam dan memperkuatkan iman ke dalam setiap jiwa muslim.

Ibadah sangat penting bagi manusia sepertimana pentingnya air bagi tumbuh-tumbuhan. Iman seseorang akan bertambah apabila ibadah dilaksanakan.

Amal soleh berbentuk muamalah pula adalah berbentuk sedekah jariah, menyampaikan ilmu yang bermanfaat, menuntut ilmu, berdakwah dan amar makruf nahi mungkar, memberi pertolongan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan samaada berbentuk masa, tenaga dan wang ringgit. Memilih jodoh dan memilih pemimpin mengikut ajaran Islam adalah termasuk amal-amal soleh yang dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan.

Kedua : Tidak melakukan syirik atau menyekutukan Allah SWT.

Di dalam al-Quran, surah al-Ankabut  ayat 116:

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."

Di dalam surah az-Zumar ayat 53 , Allah SWT berfirman maksudnya :

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Kenapa dalam surah al-Ankabut ayat 116, Allah SWT mengatakan dosa syirik tidak akan diampun sedangkan dalam surah az-Zumar ayat 53, Allah SWT mengatakan Dia mengampunkan semua dosa?

Jawapannya adalah konteks ayat tersebut. Dalam ayat pertama di atas, konteksnya adalah di akhirat. Iaitu selepas kita mati. Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik di akhirat. Ini kerana dosa-dosa lain masih boleh diampunkan diakhirat; dengan cara diganti dengan kebaikan yang pernah kita buat. Oleh itu, di akhirat ada orang akan bankrupt pahala kerana kesemua pahalanya telah digunakan untuk menebus dosa-dosanya terhadap Allah SWT. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Tirmizi:

"Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis? " Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda;" Nabi s.a.w., bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka."

Ayat kedua pula konteksnya adalah di dunia. Ini bererti walaupun seseorang itu pernah melakukan syirik (Na'uzubillah) jika dia bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah selama dia masih hidup di dunia ini Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya.

Disinilah besarnya rahmat Allah SWT dalam memberi keampunan kepada makhluk-makhluknya. Ini juga penting untuk motivasi untuk orang-orang Islam yang pernah melakukan kerja-kerja syirik supaya dia tidak berputus asa dengan rahmat Allah kerana dia masih lagi boleh bertaubat. Jadi kepada yang pernah melakukan perbuatan dan amalan syirik maka cepat-cepatlah bertaubat dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Ini juga penting sebagai peringatan untuk kita supaya selalu bertaubat ke hadrat Allah SWT kerana kita sering  melakukan dosa syirik , samaada syirik besar atau syirik kecil tanpa kita  sedari.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama membaiki amalan zahir dan batin kita iaitu dengan melakukan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan tinggalkan perbuatan, amalan dan iktikad yang boleh menyebabkan syirik kepada Allah SWT samaada syirik akbar (menyekutukan Allah SWT dengan makhluknya) atau syirik kecil iaitu perasaan riak kepada sesama manusia. Hanya inilah jalan yang lurus yang boleh membawa kita kepada keredaan dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan