Selasa, 8 Julai 2014

Aurat wanita (10 kesalahan wanita)

Kenapa Wanita Muslim Perlu Menutup Aurat Dengan Sempurna?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu perkara wajib yang di perintakkan  oleh Allah SWT kepada  para hamba-Nya adalah menutup aurat. Kewajipan menutup aurat tidak ada bezanya dengan kewajipan menunaikan solat, puasa, zakat dan haji. Di dalam al-Quran surah a-Nur ayat 31 dan surah al-Ahzab ayat 59 jelas menyatakan kewajipan menutup aurat untuk wanita muslim yang telah sampai akil baligh.

Ramai wanita muslim hari ini tidak mengambil berat dengan memakai pakaian menutup aurat dengan sempurna. Ramai di antara mereka lebih suka dan terpengaruh dengan ciri-ciri pakaian yang berfesyen semasa terutama fesyen yang datangnya daripada barat.

Islam tidak melarang jika sekiranya wanita muslim ingin menggunakan fesyen terkini di zaman moden ini tetapi pakaian tersebut biarlah digunakan daripada kain yang tidak terlalu nipis dan reka bentuk pakaian tersebut mestilah menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan , tidak terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan.

Corak dan warnanya perlulah sederhana tidak terlalu cerah hingga mendatangkan daya tarikan kepada orang yang melihatnya.

Jika syarat-syarat tersebut di patuhi maka tidak menjadi masaalah wanita muslimah menampilkan diri dengan pakaian yang memenuhi cita rasa semasa pada masa yang sama tidak bercangah dengan syariat Islam. 

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk perbincangan lebih lanjut mengenai aurat wanita perlulah di jelaskan di sisi beberapa kesilapan wanita tentang aurat supaya kita dapat mencari kesilapan tersebut dan dapat di perbaikinya.

Terdapat beberapa kesilapan wanita  tentang aurat :

Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

Kedua : Bertudung tetapi ber' T-Shirt' berlengan pendik.

Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
 
Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.


Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan hingga menampakkan kulit lengan.

Kesemua jenis berpakaian yang disebut di atas adalah diharamkan secara sepakat seluruh ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mukminah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat itu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir"(Surah an-Nur ayat 31)

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud 'perhiasan' perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh kerana itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi SAW seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.

Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.

Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.ha, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.

Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.

Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, demi menjaga meluasnya kerosakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (Surah an-Nur ayat 31)

Sahabat yang dihormati,
Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadis bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.

Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu:
1. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); 2. Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat , rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian ." (Hadis Riwayat Muslim)

Dr. Yusof Al-Qardawi menafsirkan hadis di atas, katanya : "Mereka dikatakan berpakaian, kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, kerana itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini." ( Kitab Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)

Perkataan 'bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut kerana rambutnya ditarik ke atas.

Disebalik perkara ghaib, seolah-olah Rasulullah SAW  melihat apa yang akan terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini.

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Nabi SAW dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:

"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya)." (Hadis Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .

Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respon Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadis di atas. (Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.

Perlu diingat bahawa wanita muslim perlu menjaga suaranya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Walaupun seorang wanita bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. sama ada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yang sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.

Larangan ini datang dari Firman Allah SWT yang bermaksud : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (Surah al-Ahzab ayat 32)


Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita memberi nasihat kepada kaum muslimat semua samaada isteri, ibu, kakak, adik perempuan, ibu saudara , saudara mara perempuan dan rakan-rakan di pejabat agar mereka sentiasa menutup aurat yang sempurna.

Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-hadis, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah SWT maksudnya :

" Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." (Surah Al-A'raf ayat 20)

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" (Surah Al-A'raf ayat 26)

Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan makhluk lain yang tiada cukup kemampuan dan akal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, syurga dan neraka juga benar. Sesungguhnya salah satu ciri-ciri ahli syurga adalah akhlak, perbuatan, percakapan dan pakaiannya memenuhi kehendak syariat Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan