أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada hari Ahad 19.06.2011 diseluruh negara telah diadakan sambutan Hari Bapa. Sambutan Hari Bapa setiap tahun disambut pada minggu ketiga bulan Jun setiap tahun, dan tarikh sambutan tahun ini adalah jatuh pada hari ini Ahad 19.06.2011.
Pada hari ini julung-julung kalinya Pertubuhan Ikram Malayasia (IKRAM) Negeri Selangor melancarkan Pelancaran Sambutan Hari Bapa 2011 di Hotel Singgahsana Petaling Jaya Selangor. Di undang wakil-wakil media tempatan untuk mewar-warkan program susulan untuk menyambut Hari Bapa secara berterusan. Program sambutan Hari Bapa bersama masyarakat akan disambut pada 10.07.2011 (8 pagi hingga 12 tengahari) di Dewan Orang Ramai Seksyen 19 Shah Alam Selangor. Akan diadakan forum (mengenai tanggungjawab bapa) dan aktiviti-aktiviti lain. Orang ramai dijemput hadir.
Di dalam masyarakat kita Sambutan Hari Ibu disambut secara besar-besaran dan mendapat tempat dalam masyarakat kita sehinggakan terdapat anugrah kepada tokoh-tokoh ibu mithali yang diberikan kepada mereka yang layak setiap tahun. Walaubagaimanapun Sambutan Hari Bapa kurang mendapat tempat dimedia-media tempatan dan kurang mendapat sambutan masyarakat dan tidak pernah kita dengar ada tokoh-tokoh bapa mithali yang telah dianugrahkan hadiah sebagai tokoh bapa mithali sedangkan jika dilihat darisegi pengorbanan seorang bapa sama pentingnya sebagai seorang ibu, demi untuk melahirkan keluarga sakina dan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.
Bagaimana pula dengan hukum umat Islam meraikan hari bapa ini? Dalam Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat dan peraturan Islam, ianya boleh diraikan dengan cara yang munasabah.
Sebab itulah setiap muslim sepatutnya paling kurangpun mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa mereka 5 kali sehari setiap kali selepas solat 5 waktu di samping berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan dan perasaan mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak.
Pada masa yang sama Islam juga telah meletakkan peranan bapa di tempat paling tinggi dalam institusi keluarga. Seorang suami atau bapa hendaklah berilmu, jujur, ikhlas, berakhlak mulia, bermoral, bijak, cekap dan tegas dengan kebenaran. Dia hendaklah berusaha menjadikan suasana damai sentiasa wujud dalam keluarganya.
Sahabat yang dimuliakan,
Peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan proses pembesaran anak-anak adalah cukup penting terutama dalam zaman serba mencabar ini. Jika dahulu kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah suatu yang dianggap lumrah atau tabii. Namun dalam dunia yang serba kompleks kini kebapaan adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai.
Gejala negatif yang melanda institusi rumahtangga pada hari ini adalah berpunca daripada lemahnya kepimpinan seorang bapa sebagai ketua keluarga. Dalam keadaan demikian kewibawaannya sering dipersoalkan dan mereka tidak lagi dilihat sebagai contoh oleh anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak terutamanya remaja tercari-cari 'hero' yang boleh mereka banggakan. Ketiadaan bapa sebagai 'hero' mendorong anak-anak mencari orang luar yang diharap dapat mengisi peranan tersebut.
Keadaan ini menyebabkan seringkali anak remaja lelaki terpedaya oleh pihak yang mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberi oleh remaja.
Firman Allah SWT. dalam surah At-Tahnim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api Neraka yang mana bahan apinya terdiri daripada manusia dan batu-batu”.
Seorang bapa yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa dirinya, isteri dan anak-anaknya akan terselamat daripada seksaan api neraka.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Taatiah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah dan suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah. Kerana hal ini akan memelihara mereka dan kamu dan api neraka”.
Di dalam al-Quran terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah SWT., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Quran diturunkan.
Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya.
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata) : "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya) ; kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya ; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi."
(Surah Luqman ayat 16)
Dalam ayat yang lain Allah SWT menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku, dirikan solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)
Dari ayat-ayat surah Luqman dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.
Pertama : Asas Aqidah.
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.
Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.
Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman ayat 13)
Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.
Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."
Kedua : Asas Ibadah.
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.
Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah SWT.
Ketiga : Asas Akhlak.
Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah SWT di sebalik kehidupan sekarang ini.
Secara ringkasnya di antara peranan bapa mengikut perspektif Islam adalah seperti berikut :
1. Bapa adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluaiga dan ketua unit masyarakat yang paling kecil ini.
2. Seorang bapa berkewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kelurgaa, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.
3. Bapa juga wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama.
4. Pentadbiran seorang bapa di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan sifat rahmah iatu kasihan belas, baik, adil, berakhlak dan contoh yang baik kerana dia bertanggungjawab di hadapan Allah S.WT. terhadap keluarganya.
Sahabat yang dikasihi,
Secara keseluruhannya peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti seorang suami atau bapa. Jika seorang bapa menjadikan Islam sebagai teras kehidupan dan menghayati nilai-nilai akhlak Islam maka keseluruhan ahli keluarganya akan terpimpin di atas jalan kebenaran, sebaliknya jika seorang bapa mempunyai jiwa yang rapuh dan tidak ada matlamat hidup yang jelas maka keluarganya akan hidup terumbang-ambing dan akan tersesat jalan. Oleh itu hendaklah setiap bapa memainkan peranan yang pro-aktif dan agresif untuk mendidik anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah supaya mereka nantinya dapat mendoakannya ketika dia kembali kepada Allah SWT.
Sabda Nabi SAW. maksudnya : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya"
(Hadith Riwayat Muslim)
Selamat menyambut hari bapa kepada semua bapa-bapa mungkin boleh kita bermuhasabah terhadap amanah dan tanggungjawab yang telah di berikan kepada kita semua dalam berumahtangga, mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang dan sama-sama dapat diperbaiki segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan