Rabu, 2 Julai 2014

Amalan Yang Dapat Membantu Ketika Berada di Hari Akhirat

Persiapkan Lima Amalan Yang Dapat Membantu Ketika Berada di Hari Akhirat

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْبِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW telah di pelihatkan oleh Allah SWT seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah SAW  berhenti.

Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Lalu berkata  Jibrail kepada baginda : "Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua."

Alangkah ruginya kita apabila masa hidup di dunia telah diberikan peluang oleh Allah SWT kita mensia-siakan  umur kita berlalu begitu sahaja sedangkan kita tidak menggunakan sepenuhnya untuk menfaat kehidupan dihari akhirat nanti.

Sebagaimana di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.”
(Hadis Riwayat Tarmizi).

Nabi SAW mengajarkan kepada kita doa : "Allaahummaj’al khayra ‘umrii aakhirahu wa khayra ‘amalii khawaatiimahu wa khayra ayyaamii yawma lliqaa’ika"

Maksudnya, “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada ujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).” (Hadis riwayat Ibnus Sunny)

Perbanyakkan 5 amalan sebagai bekalan sebelum kita dijemput oleh Allah SWT  sebagai ikhtiar kita semasa hidup di dunia ini .

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Memberi sumbangan untuk jihad fisabilillah dan sedekah jariah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku!Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.” (Surah al-Munafiqqun ayat 10)

Orang mukmin akan mengambil kesempatan semasa hidup di dunia yang sementara ini untuk membuat pelaburan untuk hari akhirat. Harta yang dimiliki akan dilaburkan untuk jihad fisabilillah, bersedekah, amal jariah dan membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Allah SWT akan menggandakan sedekah kita sehingga 700 kali ganda atau lebih.

Semasa Israk dan Mikraj baginda diperlihatkan : "Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW dibertahu oleh Jibrail : 'Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.' ."

Kedua : Menuntut ilmu, mengajarkannya dan mengamalkan ilmu tersebut.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran surat Al-Mujaadalah ayat 11 : “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat”. Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah SWT dan senantiasa didoakan oleh para malaikat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu fardu kifayah yang memberi manfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubungan dengan kehidupan kita di dunia, agar tiap-tiap muslim tidak dikategorikan sebagai terkebelakang dan agar setiap muslim dapat mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan yang dapat membawa kemajuan bagi penghuni dunia ini dalam batas-batas yang diredai Allah SWT. Demikian pula Islam mewajibkan kita menuntut fardu ain iaitu  ilmu-ilmu deenul Islam agar menghasilkan natijah yang sempurna, amalan yang dilakukan sesuai dan selaras dengan perintah-perintah syarak.

Ilmu yang dimiliki perlu disampaikan dan disebarkan kepada semua manusia supaya dapat dimanfaatkan dan sebagai saham dan pahala yang berterusan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya" (Hadith Riwayat Muslim)

Istiqamah secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. Istiqamah adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan oleh setiap individu muslim terhadap ilmu yang dimilikinya.  Firman-Nya yang tafsirnya: "Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus."(Surah Al Hajj ayat 54).

Ketiga : Memperbanykkan berzikir kepada Allah SWT.

Orang-orang mukmin, menganggap bahawa hidup didunia ini hanya sementara dan diakhiratlah tempat yang kekal abadi. Mereka akan sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa berzikir supaya hati mereka akan menjadi tenang dan tenteram dan sentiasa reda dengan qadak dan qadar dari Allah SWT

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah (zikrullah) hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d ayat 28).

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
”Tidak duduk satu jemaah mengucap zikrullah, melainkan (di tempat itu) telah di kelilingi malaikat-malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah (ketenangan).”
(Hadis Riwayat Muslim)

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Sesiapa yang mengucapkan la ilaha illallah wahdahu la syarika lah. Lahu-l-mulku wa lahulhamdu wa huwa 'ala kulli syay'in qadir sebanyak 100 kali dalam sehari, dia akan mendapat pahala memerdekakan 10 hamba, ditulis baginya 100 kebajikan, dihapuskan daripada 100 kejahatan, dan dia dilindungi daripada godaan syaitan sejak hari itu hingga petang. Tidak seorang pun yang datang membawa hasil yang lebih baik daripada yang diperolehnya, kecuali dia melakukan lebih banyak daripada itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Semasa Mikraj Nabi SAW naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW , Nabi Ibrahim a.s. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH . Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim a.s. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: "Mahu ya Rasulullah". Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

Keempat : Banyakkan bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

Bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari. Sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dia akan bersih daripada dosa-dosa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."  (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman : “Aku menurut dugaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hambaNya dari pada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil. (Hadis Riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu nescaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadits Riwayat Turmudzi).

Kelima : Perbanyakkan membuat kebaikan dan solat tahajud dan kepada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Allah SWT menceritakan bahawa ahli syurga adalah mereka yang ketika di dunia ini banyak membuat kebaikan dan mengerjakan solat tahajjud.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah sama-sama kita beramal dengan beramal dengan amalan yang diwajibkan oleh Allah SWT dan meninggalkan segala dosa dan larangan-Nya, dan perbanyakkan 5 amalan yang dinyatakan di atas sebagai bekalan dan persiapan kita menghadapi hari yang tidak ada sesiapa yang boleh membantu kita ketika itu  melainkan amalan yang kita bawa bersama dengan  ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Amalkanlah doa yang sering di amalkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau pernah berdoa kepada Allah SWT : "Wahai Tuhanku, peliharalah aku dengan Islam sewaktu aku berdiri, peliharalah aku dengan Islam waktu aku duduk, peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidor. Janganlah Engkau biarkan terhadap diriku musuh dan orang-orang yang dengki terhadap diriku"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan