Sabtu, 5 Julai 2014

Anak Derhaka Tidak Akan Mencium Bau Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari apabila kita membaca akhbar arus perdana kita akan bertemu dengan kisah-kisah anak derhaka kepada kedua ibu bapanya. Sikap biadab dan kurang ajar sianak kepada ibu dan bapanya telah mencapai peringkat yang cukup parah dan dahsyat sekali. Kadangkala kita tidak mampu berfikir bagaimana seorang anak boleh memukul dan mencederakan orang tuanya dan ada yang sanggup mengugut untuk membunuhnya jika tidak diberikan wang ringgit kepadanya.

Berita hari Sabtu (07.05.2011) di Harian Metro : "Anak ugut bunuh ibu guna sms di Bandar Baru Selayang Selangor. Seorang anak berusia 24 tahun meminta sejumlah RM 100,000 kepada ibunya (berusia 55 tahun) jika permintaannya tidak ditunaikan dia akan membunuh ibunya, bapanya dan 3 ahli keluarganya"

Jika kita baca berita tersebut seolah-olah kita tidak percaya peristiwa seperti ini boleh berlaku dinegara kita majoriti penduduknya adalah orang-orang Islam. Yang hairannya orang yang melakukannya adalah orang melayu yang beragama Islam. Di mana letak hormat dan kasih sayang sebagai seorang anak kepada kepada kedua ibu bapanya? Alangkan malangnya nasib ibu bapa yang memiliki anak derhaka seperti ini, kerana sepatutnya ketika usia menjangkau usia emas mendapat pembelaan, bantuan dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Ketika ini adalah masanya anak-anak akan membalas jasa orang tua yang telah banyak berkorban melahirkan, membesarkan dan memberi pelajaran kepada mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :" Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredan), maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”  (Hadis riyawat Bukhari )

Sahabat yang dimuliakan,
Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT.

Nabi SAW memberi wasiat kepada Sayyidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)

Bagaimana di dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya bersyukur kepada-Nya setelah itu bersyukur kepada kedua ibubapanya. Menunjukkan betapa penting seorang anak itu berterima kasih dan menyayangi ibu bapanya yang telah banyak berjasa kepada dirinya.

Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi. Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan muslim. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami."(Hadis riwayat Tabrani).

Hadis itu menjelaskan 'tidak menghormati orang tua' sudah dianggap boleh bukan daripada golongan muslim.

Apa lagi jika tidak menghormati orang tua yang menjadi ibu bapa sendiri. Kini menular gejala anak menganggap satu beban terpaksa menjaga atau melayan kerenah ibu bapa atau salah seorangnya. Tidak kurang juga kes anak menjadikan ibu atau bapa tidak ubah seperti orang gaji. Menyakiti hati ibu bapa satu dosa besar. Apatah lagi dalam kes yang mana anak melakukan perbuatan yang mencederakan fizikal ibu bapa dan mengugut untuk membunuh ke dua ibu bapanya.

Kemelut kehidupan yang dihadapi kebanyakan manusia sekarang berpunca daripada menderhaka kepada ibu bapa. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa."(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Allah bukan saja melarang melakukan perbuatan yang secara nyata menyakiti hati dan fizikal ibu bapa, bahkan menyebut perkataan 'kasar' juga ditegah. Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”  (Hadis riwayat al-Tirmidzi )

Sahabat yang dimuliakan,
Kita perlu mengkaji dimana silapnya anak-anak sekarang ramai yang menjadi anak-anak derhaka.

1. Adakah kerana ibu bapa tidak mendidik anak-anak mereka dengan didikan iman dan Islam?

2. Adakah suasana jahiliah dalam masyarakat kita penuh dengan hiburan dan pergaulan bebas melahirkan generasi yang tidak berakhlak dan melunturkan imannya? atau

3. Adakah  sistem pendidikan di sekolah-sekolah hari ini hanya menekankan aspek kebendaan dan materialisma sahaja daripada menekankan asas-asas iman?

Jawapannya ya, ketiga-tiga faktor tersebuat adalah menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan melahirkan ramai anak-anak derhaka kepada Tuhan dan ibu bapa.

1. Kesilapan pendidikan ibu bapa :

Hidup masa kini yang sentiasa di sebukkan dengan keperluan duniawi menyebabkan kedua-dua ibu bapa bekerja dan mencari harta untuk keluarga. Ibu bapa tidak ada masa diawal usia anak-anak di didik dengan akhlak Islam dan asas akidah yang kuat menyebabkan jiwa anak-anak kosong dan tidak merasa takut kepada Allah SWT dan tidak ada perasaan untuk menghormati dan kasih sayang kepada mereka.

Dari Abu Hurairah r.a diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Setiap anak dilahirkan dalam fitrahnya. Keduanya orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Perintahkan anak-anak kalian untuk menunaikan solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika mereka telah berusia 10 tahun (Hadis Riwayat Abu Dawud)

2. Pengaruh kawan-kawan dan suasana yang tidak baik

Suasana masyarakat hari ini yang menekankan aspek kebendaan, pergaulan bebas lelaki dan wanita, pengaruh television dan media masa yang banyak mendorong generasi muda kepada seks dan hiburan dan mencintai para artis yang tidak berakhlak Islam maka pemikiran anak-anak muda lebih kepada keduniaan dan tidak ramai yang mencintai ilmu, solat berjemaah di masjid dan menjalankan aktiviti positif yang menyuburkan jati diri.

Ini adalah akibat daripada kesilapan pemerintah yang membenarkan dan menggalakkan industri muzik, membiarkan kelab-kelab malam hidup subur macam cendawan, tidak tegas menangani gejala sosial seperti khalwad, zina, minum arak. pergaulan bebas dan menghisab dadah.

Bagaimana pihak penguasa undang-undang boleh melakukan  'double standard' pada satu masa cuba membenteras penyebaran filem lucah tetapi pada masa yang sama membenarkan 'Datuk T dan rakan-rakan ' menayangkan filem lucah?Membuka seluas-luasnya kemasukkan penyanyi-penyanyi daripada luar masuk kenegara ini membuat persembahan dan juga kemasukkan filem-filem barat yang banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak muda mudi. Ini tidak termasuk filem-filem yang boleh ditonton melalui astro, tv 1.2.3.8. dan 9 dan saluran daripada negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand dan juga kemudahan untuk melayari gambar-gambar lucah yang boleh dimuat turunkan melalui telifon bimbit dan internet.

Suasana yang rosak ini melahirkan anak-anak muda yang hilang peduman hidup dan setiap hari hanya memikirkan untuk berhibur dan berusaha untuk mendapatkan wang walaupun terpaksa dengan cara haram atau dengan cara mengugut ibu bapa.

3. Sistem pendidikan di sekolah hanya menekankan aspek kebendaan saja tidak ada menekankan aspek rohani dan keimanan kepada Allah SWT.

Jika dikaji dengan teliti berapa jam matapelajaran agama di ajarkan di sekolah-sekolah samaada sekolah rendah atau menengah? Berapa banyak pula akitviti di luar sekolah yang berunsurkan Islam dan membina jati diri? Adakah para pelajar cukup untuk memahami ilmu fardu ain sebagai bekalan mereka setelah tamat belajar di sekolah nanti?

Mengikut kajian terdapat 80% para pelajar yang tidak solat kerana tidak tahu cara-cara solat yang betul. Jika keadaan ini berterusan ini adalah satu bala yang cukup besar kepada generasi umat Islam akan datang. Tidak hairanlah negara memiliki anak-anak tidak sah taraf berjumlah melebihi 200,000 orang hasil daripada kejahilan dan ketandusan iman remaja dan belia kita.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beristighfar dan menginsafi diri kita kerana membiarkan maksiat, anak-anak derhaka dan gejala sosial bermaharajalela di negara kita kerana kita tidak pernah berdakwah dan menyedarkan masyarakat kepada Islam. Kita juga membiarkan anak-anak kita, para muda-mudi dan jiran-jiran kita untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Kita khuatir jika dibiarkan saja maksiat dan suasana jahiliah mengambil tempat di dalam masyarakt , maka bala Allah SWT akan diturunkan oleh Allah SWT. Oleh itu kita perlu berdakwah dan sampaikanlah kebenaran Islam ini kepada sesiapa saja yang kita jumpa supaya kita dapat memainkan peranan untuk melaksanakan tugas murni ini.

Pemimpin masyarakat, guru-guru, pihak penguasa undang-undang, ibu bapa, jabatan agama Islam, pertubuhan bukan kerajaan, jemaah Islam dan kita semua perlulah bekerjasama untuk melaksanakan amar makruf nahi mugkar dan menghidupkan biah solehah (suasana baik) dalam masyarakat insya Allah masyarakat kita akan lebih harmoni dan menuju keredaan Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan