Khamis, 10 Julai 2014

Hukum Barang Jumpa di Tepi Jalan (Luqathah)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat

Sahabat yang dirahmati Allah, 


Perihal “Luqathah”  (Bahagian Pertama)

Bukanlah suatu perkara yang asing jika kita terjumpa dengan barang-barang yang tercicir. Barang-barang tercicir ini berlaku di mana-mana, di tempat-tempat awam, di kaki lima jalan, tempat letak kereta, masjid, pusat membeli belah, tandas, kawasan sekolah dan lain-lain.

Pada kebiasaannya, apabila berhadapan dengan situasi begini, orang akan bertindak memungut barang tersebut samada akan menyerahkannya kepada polis, pihak-pihak yang tertentu ataupun membiarkannya sahaja di tempatnya. Ada juga yang memungutnya dengan hajat untuk memiliki, menjual atau menyedekahkan barang tersebut. Persoalan mengenai memungut barang-barang tercicir ini akan kita huraikan melalui irsyad ini.

Definisi Luqathah Menurut Syara‘

Lazimnya suatu barang atau benda ada pemiliknya. Barang atau benda yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu Fiqh diistilahkan sebagai luqathah.

Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tandatanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang dari pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.

Menurut ulama Mazhab Syafi‘ie, haiwan hilang (sesat) yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu mencari kehidupannya sendiri juga dipanggil luqathah.

Maka tidak termasuk dalam definisi luqathah: Harta atau barang yang ditemui di dalam kawasan yang dimiliki, yang diketahui pemiliknya, mempunyai tanda-tanda di dalam jagaan atau berada di tempat yang lazimnya ia berada. Begitu juga harta perang, bahan

galian yang tertanam di dalam tanah seperti emas dan perak, dan haiwan yang mampu mempertahankan diri dan mencari kehidupannya sendiri.

Selain itu, barang atau benda yang tidak dikira sebagai harta di dalam syara‘ seperti arak dan babi, mahupun yang tidak dihormati di dalam syara‘ seperti benda-benda yang melalaikan dan sia-sia adalah tidak termasuk di dalam istilah luqathah.

Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa barang atau benda yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah.

Hukum Memungut Barang Tercicir

Memungut barang yang tercicir (luqathah) mempunyai hukum yang berbeza-beza menurut keadaan orang yang memungutnya seperti berikut:

1-Sunat: Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang terjumpa barang yang dipercayai tercicir (luqathah) sunat memungutnya jika dia percaya dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat.

Akan tetapi jika dia tidak yakin akan berlaku amanah, maka tidaklah disunatkan untuk memungut barang luqathah itu kerana ia mendorong untuk menyembunyikannya. Sekiranya dia ingin memungutnya, harus menurut pendapat al-Ashah, tetapi tidak digalakkan kerana berkemungkinan dia berlaku khianat dan dikhuatiri barang itu akan hilang.

2-Wajib: Wajib dipungut barang luqathah yang dijumpai di tempat yang dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang jika dibiarkan atau di tempat laluan orang fasiq dan khianat, atau di tempat yang dikhuatiri tidak ada orang yang amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan sedemikian ini, maka tidaklah dihukumkan wajib.

3-Harus: Harus pula hukumnya memungut barang luqathah yang dijumpai jika tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja dipungut atau boleh juga ditinggalkan.

4-Haram: Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu memungut barang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka hukumnya adalah haram.

5-Makruh: Manakala makruh ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan dirinya menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang luqathah itu memungutnya.

Sebilangan besar ulama juga mengatakan makruh bagi orang fasiq memungut barang luqathah tersebut.

Orang fasiq itu ialah seperti orang yang meninggalkan atau mencuaikan sembahyang, puasa, zakat, zakat fitrah, haji dan umrah, orang melanggar larangan Allah, menipu daya, berzina, minum arak, berjudi, rasuah, pecah amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tiada ikhlas semata-mata kerana Allah, bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tiada memberi sara hidup kepada isteri dan anak-anak, tiada mengajarkan mereka akan fardhu ‘ain, derhaka kepada ibu bapa, sakit hati dan dengki hasad kepada orang Islam.

Apa Yang Perlu Dibuat Dengan Barang Yang Dipungut?

Jika seseorang menjumpai barang luqathah dan tidak ada sebarang tegahan syara‘ atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut bolehlah diperlakukan mengikut hukum syara‘ dan syarat-syarat luqathah.

Terdapat hadis-hadis yang menyatakan tentang pensyari‘atan memungut Luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, orang yang terjumpa luqathah, lalu dia memungutnya, hendaklah dia berbuat langkah-langkah berikut:

1- Mengetahui bekas dan pengikat bekas barang yang dijumpai itu.

2- Mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun.

3- Menyimpannya apabila sekiranya masih tidak menemui pemiliknya atau tiada pemilik yang menuntutnya.

4- Mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun pengumuman.

Hadis di atas menegaskan kepada orang yang menjumpai barang luqathah itu untuk mengetahui, mengamati dan mengambil spesifikasi barang itu terlebih dahulu adalah supaya dapat mengenal dengan pasti pemilik sebenar dan dapat membezakannya dari pemilik palsu yang mengaku memiliki barang tersebut apabila hendak menyerahkan kepada pemiliknya nanti.

Di samping itu, dianjurkan meletakkan tanda seperti menulis tarikh dan tempat barang tersebut dijumpai agar mudah diketahui oleh waris pemilik, jika pemiliknya meninggal dunia dan agar tidak bercampur dengan harta lain .

Tidak perlu menyebutkankan semua sifat-sifat barang tersebut dengan terperinci ketika penghebahan dibuat, bahkan sunat dengan hanya disebutkan setengah sifat-sifatnya sahaja agar tidak berlaku sebarang penipuan atau pengakuan palsu. Sebelum menghebahkan, faktor utama yang mempengaruhi ketentuan syara‘ berhubung dengan memungut luqathah yang perlu diketahui adalah nilai dan jenis barang (luqathah) itu. ‘Ulama membahagikannya kepada:-

1) Barang Yang Tidak Tahan dan Mudah Binasa
 

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa atau tidak tahan lama umpamanya makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang, ikan, sayur-sayuran, buahbuahan seperti timun dan tomato, maka orang yang menjumpainya boleh memungut dan memilih antara;

a. memakan atau meminum barang itu sebagai miliknya dan bersedia mengganti dengan nilai barang itu balik sekiranya ada pemilik yang menuntutnya;

 b. ataupun dengan menjual barang tersebut dan menghebahkannya kepada orang ramai setelah menjualnya supaya dia boleh memiliki (mengambil) harga bayaran barang itu.

2) Barang Yang Tahan Melalui Kaedah Pemprosesan

a. Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa tetapi boleh menjadi tahan dengan pemprosesan seperti kurma atau anggur yang dikeringkan, kepingan susu beku, maka orang yang memungutnya perlu melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menguntungkan.

b. Jika difikirkan dengan menjualnya akan menguntungkan pemiliknya, maka eloklah dijual dan disimpan harga bayaran barang itu serta bersedia menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ada;

c. atau memprosesnya jika difikirkan dengan memproses barang tersebut akan mendatangkan kebaikan. Jika pemprosesan itu memerlukan perbelanjaan tetapi tidak ada yang dapat menanggung perbelanjaannya, maka bolehlah dijual sebahagian barang tersebut dan hasilnya boleh dibelanjakan untuk memproses selebihnya lagi.

3) Barang Yang Tidak Mudah Rosak atau Tahan Dengan Sendirinya

Jika barang itu sesuatu yang tahan lama atau tidak mudah rosak seperti emas, perak, buku, anak kunci, maka wajib ke atas orang yang memungutnya menjaganya selama mana tempoh penghebahan berlaku. Ini termasuklah jam tangan, telefon bimbit dan dompet berisi wang yang merupakan antara barang yang sering tercicir pada masa ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan