Khamis, 10 Julai 2014

Hukum Barang Jumpa di Tepi Jalan (Luqathah)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat

Sahabat yang dirahmati Allah, 


Perihal “Luqathah”  (Bahagian Pertama)

Bukanlah suatu perkara yang asing jika kita terjumpa dengan barang-barang yang tercicir. Barang-barang tercicir ini berlaku di mana-mana, di tempat-tempat awam, di kaki lima jalan, tempat letak kereta, masjid, pusat membeli belah, tandas, kawasan sekolah dan lain-lain.

Pada kebiasaannya, apabila berhadapan dengan situasi begini, orang akan bertindak memungut barang tersebut samada akan menyerahkannya kepada polis, pihak-pihak yang tertentu ataupun membiarkannya sahaja di tempatnya. Ada juga yang memungutnya dengan hajat untuk memiliki, menjual atau menyedekahkan barang tersebut. Persoalan mengenai memungut barang-barang tercicir ini akan kita huraikan melalui irsyad ini.

Definisi Luqathah Menurut Syara‘

Lazimnya suatu barang atau benda ada pemiliknya. Barang atau benda yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu Fiqh diistilahkan sebagai luqathah.

Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tandatanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang dari pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.

Menurut ulama Mazhab Syafi‘ie, haiwan hilang (sesat) yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu mencari kehidupannya sendiri juga dipanggil luqathah.

Maka tidak termasuk dalam definisi luqathah: Harta atau barang yang ditemui di dalam kawasan yang dimiliki, yang diketahui pemiliknya, mempunyai tanda-tanda di dalam jagaan atau berada di tempat yang lazimnya ia berada. Begitu juga harta perang, bahan

galian yang tertanam di dalam tanah seperti emas dan perak, dan haiwan yang mampu mempertahankan diri dan mencari kehidupannya sendiri.

Selain itu, barang atau benda yang tidak dikira sebagai harta di dalam syara‘ seperti arak dan babi, mahupun yang tidak dihormati di dalam syara‘ seperti benda-benda yang melalaikan dan sia-sia adalah tidak termasuk di dalam istilah luqathah.

Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa barang atau benda yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah.

Hukum Memungut Barang Tercicir

Memungut barang yang tercicir (luqathah) mempunyai hukum yang berbeza-beza menurut keadaan orang yang memungutnya seperti berikut:

1-Sunat: Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang terjumpa barang yang dipercayai tercicir (luqathah) sunat memungutnya jika dia percaya dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat.

Akan tetapi jika dia tidak yakin akan berlaku amanah, maka tidaklah disunatkan untuk memungut barang luqathah itu kerana ia mendorong untuk menyembunyikannya. Sekiranya dia ingin memungutnya, harus menurut pendapat al-Ashah, tetapi tidak digalakkan kerana berkemungkinan dia berlaku khianat dan dikhuatiri barang itu akan hilang.

2-Wajib: Wajib dipungut barang luqathah yang dijumpai di tempat yang dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang jika dibiarkan atau di tempat laluan orang fasiq dan khianat, atau di tempat yang dikhuatiri tidak ada orang yang amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan sedemikian ini, maka tidaklah dihukumkan wajib.

3-Harus: Harus pula hukumnya memungut barang luqathah yang dijumpai jika tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja dipungut atau boleh juga ditinggalkan.

4-Haram: Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu memungut barang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka hukumnya adalah haram.

5-Makruh: Manakala makruh ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan dirinya menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang luqathah itu memungutnya.

Sebilangan besar ulama juga mengatakan makruh bagi orang fasiq memungut barang luqathah tersebut.

Orang fasiq itu ialah seperti orang yang meninggalkan atau mencuaikan sembahyang, puasa, zakat, zakat fitrah, haji dan umrah, orang melanggar larangan Allah, menipu daya, berzina, minum arak, berjudi, rasuah, pecah amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tiada ikhlas semata-mata kerana Allah, bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tiada memberi sara hidup kepada isteri dan anak-anak, tiada mengajarkan mereka akan fardhu ‘ain, derhaka kepada ibu bapa, sakit hati dan dengki hasad kepada orang Islam.

Apa Yang Perlu Dibuat Dengan Barang Yang Dipungut?

Jika seseorang menjumpai barang luqathah dan tidak ada sebarang tegahan syara‘ atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut bolehlah diperlakukan mengikut hukum syara‘ dan syarat-syarat luqathah.

Terdapat hadis-hadis yang menyatakan tentang pensyari‘atan memungut Luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, orang yang terjumpa luqathah, lalu dia memungutnya, hendaklah dia berbuat langkah-langkah berikut:

1- Mengetahui bekas dan pengikat bekas barang yang dijumpai itu.

2- Mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun.

3- Menyimpannya apabila sekiranya masih tidak menemui pemiliknya atau tiada pemilik yang menuntutnya.

4- Mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun pengumuman.

Hadis di atas menegaskan kepada orang yang menjumpai barang luqathah itu untuk mengetahui, mengamati dan mengambil spesifikasi barang itu terlebih dahulu adalah supaya dapat mengenal dengan pasti pemilik sebenar dan dapat membezakannya dari pemilik palsu yang mengaku memiliki barang tersebut apabila hendak menyerahkan kepada pemiliknya nanti.

Di samping itu, dianjurkan meletakkan tanda seperti menulis tarikh dan tempat barang tersebut dijumpai agar mudah diketahui oleh waris pemilik, jika pemiliknya meninggal dunia dan agar tidak bercampur dengan harta lain .

Tidak perlu menyebutkankan semua sifat-sifat barang tersebut dengan terperinci ketika penghebahan dibuat, bahkan sunat dengan hanya disebutkan setengah sifat-sifatnya sahaja agar tidak berlaku sebarang penipuan atau pengakuan palsu. Sebelum menghebahkan, faktor utama yang mempengaruhi ketentuan syara‘ berhubung dengan memungut luqathah yang perlu diketahui adalah nilai dan jenis barang (luqathah) itu. ‘Ulama membahagikannya kepada:-

1) Barang Yang Tidak Tahan dan Mudah Binasa
 

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa atau tidak tahan lama umpamanya makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang, ikan, sayur-sayuran, buahbuahan seperti timun dan tomato, maka orang yang menjumpainya boleh memungut dan memilih antara;

a. memakan atau meminum barang itu sebagai miliknya dan bersedia mengganti dengan nilai barang itu balik sekiranya ada pemilik yang menuntutnya;

 b. ataupun dengan menjual barang tersebut dan menghebahkannya kepada orang ramai setelah menjualnya supaya dia boleh memiliki (mengambil) harga bayaran barang itu.

2) Barang Yang Tahan Melalui Kaedah Pemprosesan

a. Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa tetapi boleh menjadi tahan dengan pemprosesan seperti kurma atau anggur yang dikeringkan, kepingan susu beku, maka orang yang memungutnya perlu melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menguntungkan.

b. Jika difikirkan dengan menjualnya akan menguntungkan pemiliknya, maka eloklah dijual dan disimpan harga bayaran barang itu serta bersedia menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ada;

c. atau memprosesnya jika difikirkan dengan memproses barang tersebut akan mendatangkan kebaikan. Jika pemprosesan itu memerlukan perbelanjaan tetapi tidak ada yang dapat menanggung perbelanjaannya, maka bolehlah dijual sebahagian barang tersebut dan hasilnya boleh dibelanjakan untuk memproses selebihnya lagi.

3) Barang Yang Tidak Mudah Rosak atau Tahan Dengan Sendirinya

Jika barang itu sesuatu yang tahan lama atau tidak mudah rosak seperti emas, perak, buku, anak kunci, maka wajib ke atas orang yang memungutnya menjaganya selama mana tempoh penghebahan berlaku. Ini termasuklah jam tangan, telefon bimbit dan dompet berisi wang yang merupakan antara barang yang sering tercicir pada masa ini.

Bapa (peranan mendidik anak-anak)


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada hari Ahad 19.06.2011 diseluruh negara telah diadakan sambutan Hari Bapa. Sambutan Hari Bapa setiap tahun disambut  pada minggu ketiga bulan Jun setiap tahun, dan tarikh sambutan tahun ini adalah jatuh pada hari ini Ahad 19.06.2011. 

Pada hari ini julung-julung kalinya Pertubuhan Ikram Malayasia (IKRAM) Negeri Selangor melancarkan Pelancaran Sambutan Hari Bapa 2011 di Hotel Singgahsana Petaling Jaya Selangor. Di undang wakil-wakil media tempatan untuk mewar-warkan program susulan untuk menyambut Hari Bapa secara berterusan. Program sambutan Hari Bapa bersama masyarakat akan disambut pada 10.07.2011 (8 pagi hingga 12 tengahari) di Dewan Orang Ramai Seksyen 19 Shah Alam Selangor. Akan diadakan forum (mengenai tanggungjawab bapa) dan aktiviti-aktiviti lain. Orang ramai dijemput hadir.

Di dalam masyarakat kita Sambutan Hari Ibu disambut secara besar-besaran dan mendapat tempat dalam masyarakat kita sehinggakan terdapat anugrah kepada tokoh-tokoh  ibu mithali yang diberikan kepada mereka yang layak setiap tahun. Walaubagaimanapun Sambutan Hari Bapa kurang mendapat tempat dimedia-media tempatan dan kurang mendapat sambutan masyarakat dan tidak pernah kita dengar ada tokoh-tokoh bapa mithali yang telah dianugrahkan hadiah sebagai tokoh bapa mithali sedangkan jika dilihat darisegi  pengorbanan seorang bapa sama pentingnya sebagai seorang ibu, demi untuk melahirkan  keluarga sakina dan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Bagaimana pula dengan hukum umat Islam meraikan hari bapa ini? Dalam Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat dan peraturan Islam, ianya boleh diraikan dengan cara yang munasabah.

Sebab itulah setiap muslim sepatutnya paling kurangpun mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa mereka 5 kali sehari setiap kali selepas solat 5 waktu di samping berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan dan perasaan mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak.

Pada masa yang sama Islam juga telah meletakkan peranan bapa di tempat paling tinggi dalam institusi keluarga. Seorang suami atau bapa hendaklah berilmu, jujur, ikhlas, berakhlak mulia, bermoral, bijak, cekap dan tegas dengan kebenaran. Dia hendaklah berusaha menjadikan suasana damai sentiasa wujud dalam keluarganya.

Sahabat yang dimuliakan,
Peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan proses pembesaran anak-anak adalah cukup penting terutama dalam zaman serba mencabar ini. Jika dahulu kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah suatu yang dianggap lumrah atau tabii. Namun dalam dunia yang serba kompleks kini kebapaan adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai.

Gejala negatif yang melanda institusi rumahtangga pada hari ini adalah berpunca daripada lemahnya kepimpinan seorang bapa sebagai ketua keluarga. Dalam keadaan demikian kewibawaannya sering dipersoalkan dan mereka tidak lagi dilihat sebagai contoh oleh anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak terutamanya remaja tercari-cari 'hero' yang boleh mereka banggakan. Ketiadaan bapa sebagai 'hero' mendorong anak-anak mencari orang luar yang diharap dapat mengisi peranan tersebut.

Keadaan ini menyebabkan seringkali anak remaja lelaki terpedaya oleh pihak yang mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberi oleh remaja.

Firman Allah SWT. dalam surah At-Tahnim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api Neraka yang mana bahan apinya terdiri daripada manusia dan batu-batu”.

Seorang bapa yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa dirinya, isteri dan anak-anaknya akan terselamat daripada seksaan api neraka.

Sabda Rasulullah SAW  maksudnya : “Taatiah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah dan suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah. Kerana hal ini akan memelihara mereka dan kamu dan api neraka”.

Di dalam al-Quran terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah SWT., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Quran diturunkan.

Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata) : "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya) ; kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya ; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi."
(Surah Luqman ayat 16)

Dalam ayat yang lain Allah SWT menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku, dirikan solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)

Dari ayat-ayat surah Luqman dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.

Pertama :  Asas Aqidah.

Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.

Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam  secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman ayat 13)

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.

Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."

Kedua : Asas Ibadah.

Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.

Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah SWT.

Ketiga : Asas Akhlak.

Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah SWT di sebalik kehidupan sekarang ini.

Secara ringkasnya di antara peranan bapa mengikut perspektif Islam adalah seperti berikut :

1. Bapa adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluaiga dan ketua unit masyarakat yang paling kecil ini.

2. Seorang bapa berkewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kelurgaa, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

3. Bapa juga wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama.

4. Pentadbiran seorang bapa  di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan sifat rahmah iatu kasihan belas, baik, adil, berakhlak dan contoh yang baik kerana dia bertanggungjawab di hadapan Allah S.WT. terhadap keluarganya.

Sahabat yang dikasihi,
Secara keseluruhannya peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti seorang suami atau bapa. Jika seorang bapa menjadikan Islam sebagai teras kehidupan dan menghayati nilai-nilai akhlak Islam maka keseluruhan ahli keluarganya akan terpimpin di atas jalan kebenaran, sebaliknya jika seorang bapa mempunyai jiwa yang rapuh dan tidak ada matlamat hidup yang jelas maka keluarganya akan hidup terumbang-ambing dan akan tersesat jalan. Oleh itu hendaklah setiap bapa memainkan peranan yang pro-aktif dan agresif untuk mendidik anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah supaya mereka nantinya dapat mendoakannya ketika dia kembali kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW. maksudnya : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya"
(Hadith Riwayat Muslim)

Selamat menyambut hari bapa kepada semua  bapa-bapa  mungkin boleh kita bermuhasabah terhadap amanah dan tanggungjawab yang telah di berikan kepada kita semua dalam berumahtangga, mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang dan sama-sama dapat diperbaiki segera.

Balasan melakukan maksiat

Lima Maksiat Yang di Segerakan Balasannya.

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara­-perkara itu ialah:

1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.

3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ". 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan :

Hadis di atas rnenerangkan bahawa:

1. Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.

2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.

3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.

4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (sepeti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah swt.

5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada mengenepikan hukum­hukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Balasan di hari akhirat

Balasan Adil Daripada Allah SWT Ketika Berada di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan dari ‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:

    يَجْمَعُ اللهُ الأَوَّلِيْنَ وَالآخِرِيْنَ لِمِيْقَاتِ يَوْمٍ مَعْلُوْمٍ قِيَامًا أَرْبَعِيْنَ سَنَةً شَاخِصَةً أَبْصَارُهُمْ يَنْتَظِرُوْنَ فَصْلَ الْقَضَاءِ


Maksudnya :“Allah mengumpulkan semua manusia dari yang pertama sampai yang terakhir, pada waktu hari tertentu dalam keadaan berdiri selama empat puluh tahun. Pandangan-pandangan mereka menatap (ke langit), menanti pengadilan Allah.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan ath-Thabrani. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih at-Targhib wat-Tarhib, no.3591).

Syafaat Al-Kubra :

Peristiwa di Padang Mahsyar sangatlah dahsyat. Di hari itu, Allah Ta’ala mengumpulkan seluruh makhluk-Nya, yang pertama sampai terakhir di satu tanah luas yang datar. Matahari didekatkan dengan jarak satu batu sehingga manusia benar-benar mengalami kesusahan dan kesedihan.

Ketika kesusahan yang mereka rasakan semakin memuncak, akhirnya mereka mencari orang yang dapat memberikan syafaat, agar Allah Ta’ala segera mempercepat keputusan-Nya. Mereka pun akhirnya berusaha mendatangi Nabi Adam, kemudian Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa bin Maryam untuk meminta syafaat darinya, namun mereka semua menolaknya. Pada akhirnya mereka datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, untuk meminta syafaat dari baginda. Dengan izin Allah Ta’ala, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam memberikan syafaat kepada umat manusia, agar mereka diberi keputusan. (Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 4712 dan Muslim, no. 194 dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Yaumul Hisab

Yaumul hisab atau hari perhitungan amal adalah hari dimana Allah memperlihatkan kepada hamba-hamba-Nya tentang amal mereka. Allah Ta’ala berfirman:

    إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ (25) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ (26)


Maksudnya : “Sungguh, kepada Kami-lah mereka kembali. kemudian sesungguhnya (kewajiban) Kami-lah membuat perhitungan atas mereka.”  (Surah al-Ghasyiyah ayat 25 – 26).

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam sering berdoa di dalam solat dengan mengucapkan:

    اَللَّهُمَّ حَاسِبْنِيْ حِسَابًا يَسِيْرَا


 "Allohumma haasibni hisaaban yasiiro (Ya Allah, hisablah diriku dengan hisab yang mudah.”

Kemudian ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya tentang apa itu hisab yang mudah? Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam menjawab: “Allah memperlihatkan kitab (hamba)-Nya kemudian Allah memaafkannya begitu saja. Barangsiapa yang dipersulit hisabnya, nescaya ia akan binasa.” (Hadis Riwayat Ahmad, VI/48, 185, al-Hakim, I/255, dan Ibnu Abi ‘Ashim dalam Kitaabus Sunnah, no. 885. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim dan adz-Dzahabi).

Apakah Binatang Juga Dihisab?

Sesungguhnya makhluk yang pertama kali diadili oleh Allah Ta’ala adalah binatang, bukan manusia ataupun jin. Allah Ta’ala berfirman:

    وَإِذَا الْوُحُوْشُ حُشِرَتْ (5)


Maksudnya : “Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.” (QS. At-Takwir: 5), yakni dikumpulkan di hari Kiamat untuk diadili.

    وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ طَائِرٍ يَطِيْرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلاَّ أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُوْنَ (38)


Maksudnya : “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) sepertimu. Tiadalah Kami lupakan sesuatu apapun di dalam Al-Kitab kemudian kepada Rabb-lah mereka dihimpunkan.” (Surah al-An’aam ayat 38)

Syaikh Muhammad bin Sholih al-‘Utsaimin rahimahullah mengatakan, “Pada hari kiamat kelak, seluruh binatang akan dikumpulkan, sedangkan manusia menyaksikannya. Kemudian binatang-binatang itu diadili, sehingga binatang yang tidak bertanduk akan menuntut balas terhadap binatang bertanduk yang telah menanduknya di dunia. Setelah binatang tersebut diqisas, Allah akan mengubahnya menjadi tanah. Allah melakukannya untuk menegakkan keadilan di antara makhluk-Nya.” (Tafsiir Juz ‘Amma, hal. 70)

Hisabnya hewan ini disaksikan oleh para malaikat, orang-orang yang beriman dan juga orang-kafir. Setelah binatang diadili, Allah Ta’ala berfirman: “Jadilah tanah!” Maka binatang-binatang itu berubah menjadi tanah. Tatkala melihat hewan itu diubah menjadi tanah, orang-orang kafir itu mengatakan, “Alangkah baiknya jika aku menjadi tanah.” Inilah salah satu makna firman Allah Ta’ala:

    وَيَقُوْلُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا (40)


Maksudnya : “Dan orang kafir itu berkata, “Alangkah baiknya sekiranya aku menjadi tanah saja.” (Surah an-Naba ayat 40).

Hisabnya seorang mukmin, iblis, kafir dan munafiq.

Allah telah berjanji bahawa para pelaku maksiat dan dosa, tempat mereka di akhirat kelak adalah di neraka. Bagi syaitan, Iblis , orang-orang kafir dan munafiq ia akan berada di neraka buat selama-lamanya. Namun, bagi orang Islam yang berdosa (tetapi tidak mensyirikkan Allah), mereka akan tetap diseksa di neraka, walaupun akhirnya akan turut menempuh alam syurga.

Sesungguhnya Allah mengadili hamba-Nya yang mukmin seorang diri pada hari kiamat, tidak seorang pun yang melihatnya dan tidak seorang pun yang mendengarnya. Allah Ta’ala benar-benar menutupi aibnya sehingga tidak seorang pun yang mengetahuinya. Allah menunjukkan kesalahan-kesalahannya dan berkata kepadanya: “Apakah kamu mengetahui dosa ini? Apakah kamu mengakui dosa ini?” Maka dia menjawab, “Ya wahai Rabb-ku, aku mengetahuinya.” Tiap kali ditunjukkan dosa-dosanya, ia terus mengakuinya sampai-sampai ia merasa pasti binasa. Lalu Allah Ta’ala berfirman kepadanya:

    فَإنِّي قَدْ سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيا، وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ


Maksudnya : “Sesungguhnya Aku telah menutupi dosa-dosamu di dunia, dan sekarang Aku mengampuni dosa-dosamu.”Kemudian diberikan kepadanya catatan amal kebaikannya.” (Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, VIII/353 –Fat-h, dan Muslim, no. 2768)

Sahabat yang dimuliakan,
Ini adalah karunia besar yang Allah ‘Azza wa Jalla berikan kepada seorang mukmin. Allah Ta’ala menutupi aib seorang mukmin dan tidak membongkarnya di depan umum.

Alhamdulillah, Allah Ta’ala telah menutupi dosa-dosa kita yang begitu banyaknya. Oleh itu, kita harus banyak bertaubat kepada-Nya dan memohon ampun kepada-Nya dari segala dosa. Mudah-mudahan Allah Ta’ala menghapus dosa-dosa tersebut.

Adapun orang-orang kafir dan munafiq, mereka akan dipanggil di hadapan seluruh makhluk. Para saksi akan menyeru mereka di hadapan seluruh makhluk:

    هَؤُلآءِ الَّذِيْنَ كَذَبُوْا عَلَى رَبِّهِمْ أَلاَ لَعْنَةُ اللهِ عَلَى الظَّالِمِيْنَ (18)


Maksudnya : “Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Rabb mereka.” Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim.” (Surah Huud ayat 18)

Firman Allah SWT maksudnya : “Maka takutlah kamu kepada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Neraka itu disediakan bagi mereka yang kafir.”
(Surah al-Baqarah ayat 24)

“Barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas larangannya, dimasukkan ke dalam neraka, kekal di dalamnya. Dia menderita seksa yang hina-dina.” (Surah an-Nisaa ayat 14)

“Allah telah menyediakan untuk mereka yang munafik laki-laki mahupun perempuan dan orang kafir itu neraka Jahannam. Mereka itu kekal di dalamnya. Allah melaknati mereka itu dan untuk mereka azab yang kekal.” (Surah at-Taubah ayat 68)

Apakah jin juga dihisab?

Sesungguhnya jin juga akan dihisab kerana mereka juga dibebani syariat. Mereka akan dihisab dan diberikan balasan atas amal mereka. Oleh kerana itu, jin yang kafir juga akan dimasukkan ke dalam neraka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

    اُدْخُلُوْا فِيْ أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ فِي النَّارِ (38)


Maksudnya : “Masuklah kamu sekalian ke dalam neraka bersama umat-umat jin dan manusia yang telah terdahulu sebelum kamu.” (Surah al-A’raaf ayat 38)

Demikian pula sebaliknya, bangsa jin yang beriman juga akan masuk ke dalam syurga dan merasakan kenikmatan-kenikmatan yang ada di dalamnya.

Hukuman ke atas sesiapa yang di dapati bersalah dalam perbicaraan ini ialah:

Pertama - Menerima balasan dari makhluk yang dilakukan jenayah itu terhadapnya.

Kedua - Memberi amal kebajikannya kepada orang yang ia aniayakan, untuk membayar hutang orang itu atau mengganti-ruginya; dan apabila tidak ada lagi amal kebajikannya untuk diberi kepada orang itu, maka ia terpaksa menanggung kesalahannya.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Ketiga - Dimasukkan ke dalam penjara yang disediakan Tuhan (Neraka Jahanam)

Sahabat yang dikasihi,
Untuk menyelamatkan seseorang daripada menghadapi perbicaraan yang tersebut, maka Nabi Muhammad  S.A.W. mengingatkan umatnya serta menerangkan jalan keselamatan masing-masing - dalam hadis-hadis yang berikut:

1. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Dari Sa'id bin Zaid r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengambil tanah secara zalim sekalipun sejengkal, akan dibelitkan pada hari kiamat dengan tanah yang diperintahkannya mengangkut sebanyak itu dari tujuh petala bumi."  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. melarang menyeksa binatang sampai mati dengan jalan mengikatnya untuk dijadikan sasaran panah,  rejaman dan sebagainya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Dari Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah S.A.W. melarang perbuatan melagakan binatang. "
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

5. Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, niscaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."  (Hadis Riwayat Baihaqi)

Ada pun perkara-perkara yang berkenaan dengan ibadat kepada Allah,  maka yang mula-mula dibicarakan ialah ibadat solat lima waktu sehari semalam - sesiapa yang solatnya itu diterima Tuhan maka berjaya dan beruntunglah dia; sebaliknya rugi dan menderita orang yang tidak diterima solatnya. Sesiapa yang didapati solat fardunya terkurang, sama ada terkurang bilangannya, rukun,  syaratnya, sunatnya atau khusyuknya maka ditampal dan dicukupkan dengan solat-solat sunatnya jika ada, kalau tidak ada terpulanglah hukumnya kepada keadilan atau kemurahan Tuhan Rabbul `Alamin.

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri supaya memperbanyakkan amal ibadah, amal solah dan amal kebajikan semata-mata kerana Allah SWT semoga kita semua akan terlepas daripada  setiap soalan dan siasatan , timbang amal dan dipermudahkan meniti Siratul Mustaqim tanpa terjatuh ke dalam jurang api neraka. Dapat memasuki syurga Allah SWT dengan rahmat Allah SWT.

Baik dan Buruk Internet

Internet Baik Buruknya Kita di Golongan Yang Mana?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari kita.

Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet:

Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat
diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain 'game', mendengar lagu, bersembang kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, membuka web site yang kurang bermanfaat untuk menambahkan ilmu pengetahuan seperti membaca kehidupan artis-artis atau ahli-ahli sukan dan sebagainya tanpa tujuan yang jelas.. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. bukan semata-mata memenuhi hawa nafsu semata-mata. Masa inilah kita pergunakan untuk menghadiri pengajian-pengajian ilmu, ceramah-ceramah agama, khidmat masyarakat dan menyediakan dan menghantar nota-nota tazkirah dalam fb dan blog kepada masyarakat.

Pepatah Arab ada menyatakan :
"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Masa adalah kehidupan sesiapa yang mensia-siakannya ini bermakna dia mensia-siakan kehidupannya.

Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman lucah, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumahtangga, bersembang dengan menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. Lebih dahsyat lagi jika terlibat dengan aktiviti tidak bermoral membuat fitnah dan menyebarkannya pula dengan menggunakan teknologi 'super impose'

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita. Sekarang ini kita berada digolongan mana? Jika berada di golongan yang pertama, alhamdulillah semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Masa yang kita peruntukkan menghadap komputer berjam-jam dikira sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T. Teruskan kerja-kerja yang murni ini.

Sekiranya kita golongan yang kedua, kita adalah golongan yang akan rugi kerana masa kita dipergunakan dengan banyak tanpa berfaedah . Kita akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.

Jika termasuk golongan yang ketiga kita akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat . Oleh itu hendaklah kita jangan menjadi golongan ketiga ini dan minta di hentikan tabiat buruk itu. Secara sedar atau tidak golongan ketiga ini telah membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik sesiapa yang terlibat dengan perbuatan fitnah tadi. Seseorang akan menjadi golongan muflis di hari akhirat nanti jika tidak bertaubat .

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Sahabat yang dikasihi,
Mudarat internet amat besar. Kerana internet boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh mendatangkan persengkitaan di antara agama dan bangsa jika tidak ditangani dengan baik.

Kebaikan internet juga banyak menfaatnya jika digunakan sebaik-baiknya untuk mencari keredaan Allah SWT.

Akhirkata berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.

Selasa, 8 Julai 2014

Bahaya lidah 15 perkara

Jauhi 15 Bahaya Lidah Yang Boleh Mencampakkan Seseorang ke Neraka Jahanan

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia dikurniakan oleh Allah SWT lidah. Lidah adalah daging yang lembut terletak di dalam mulut manusia. Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh mendatangkan dua akibat (kesan) yang besar iaitu samaada ke syurga atau ke neraka. Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya insya Allah ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalah gunakan akan membawa pelakunya ke neraka. Nabi SAW pernah memberi isyarak kepada sahabat bahawa dua anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : "...sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di bantingkan muka mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat Bukhari)l

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :

"Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)".

Terdapat 15 bahaya yang timbul akibat ucapan (lidah) yang membawa pelakunya ke neraka, perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Mengucapkan sesuatu yang tidak perlu

Kita hendaklah menahan lidah daripada mengucapkan perkataan yang tidak berfaedah dan boleh mendatangkan dosa. Lidah perlu dibasahkan dengan zikir kepada Allah SWT

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sebahagian daripada bukti keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Kedua : Terdorong mengucapkan perkara yang batil (dosa)

Bermegah-megah dan menceritakan pada orang lain perbuatan maksiat yang dia lakukan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk juga suka berbantah-bantahan dengan orang alim dan tidak mahu menerima teguran dan mempertahankan pendapatnya yang jahil.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka perbantahan dan permusuhan".

Ketiga : Bercakap membuta tuli (tidak ikut hukum Islam dan bercakap tidak berdasarkan ilmu disebabkan kejahilannya)

Nabi SAW telah menyatakan bahawa orang yang paling dibenci dan jauh tempatnya dari baginda pada hari kiamat nanti, ialah orang yang banyak bercakap tapi tidak tentu arah kerana ia tidak berfikir sebelum bercakap.

Keempat : Memaki hamun dan cakap kotor

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji dan bercakap kotor".

Nabi SAW berpesan kepada Sayidina Ali k.wj. maksudnya :

"Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri.

Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya.

Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."

Kelima : Nyanyian

Nabi SAW telah memperingatkannya melalui sebuah hadis yang bermaksud : "Nyanyian akan menumbuhkan kemunafikan (nifiq) di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur-sayuran". (Hadis Riwayat Baihaqi dan Ibnu Abu Dunya)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Selagi akan ada di kalangan umatku orang-orang yang memakai (menghalalkan) kain sutera dan nyanyian"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud : "Dan sebahagian manusia ada yang membeli percakapan kosong (lahwal hadis) untuk menyesatkan (orang lain) daripada Allah."

Apabila ditanya Ibnu Mas'ud makna 'lahwal hadis' dalam ayat tersebut, beliau mengatakan 'nyanyian' bukan yang lain.

Nyanyian yang dimaksudkan di sini adalah nyanyian yang melekakan daripada mengingati Allah SWT. Senikata lagunya membenarkan perbuatan maksiat. Penyanyinya pula seorang wanita yang mendedahkan aurat, berhias (tabaruj), menggunakan suara yang merdu dan mempersonakan.

Tetapi sekiranya nyanyian tersebut berunsur dakwah, tidak melalaikan kewajipan, tidak menghalalkan yang haram dan nyanyian itu dilakukan oleh lelaki atau mahram kaum lelaki dan tidak nyaring serta tidak diiringi dengan sesuatu yang haram.

Keenam : Bergurau

Bergurau tidak berdosa selagi gurauan itu tidak melampau batas, kerana Nabi SAW sendiri pernah bergurau tapi tidak pernah terkeluar daripada memperkatakan yang benar. Itu pun jarang dilakukan Nabi. Pada umumnya , banyak bergurau akan mengurangkan ketenangan dan boleh menumbuhkan kedengkian, tapi gurauan yang sedikit atau sekadar menghilangkan kebosanan, tidak mengapa.

Ketujuh : Mengejek atau memperolok-olokkan

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olakkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan (ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat ayat 11)

Diriwayatkan bahawa ayat diatas diturunkan kerana utusan Tamim telah menghina golonqan fakir miskin dari kalangan sahabat Nabi SAW. seperti Bilal, 'Ammar, Shuhaib, Khabbab, Ibnu Fuhairah, Salman Al Farisy, Salim maula Abi Huzaifah dan lain lain.

Kelapan : Menyebarkan fitnah, sumpah palsu, berdusta dan berbohong.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumpah palsu termasuk perbuatan yang mendapatkan azab besar. Selanjutnya, dalam suatu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. disebutkan, sumpah palsu termasuk di antara perbuatan yang berdosa besar (Hadis Riwayat Tirmidzi).  

Bahkan, masih menurut riwayat Abu Hurairah, termasuk dalam lima dosa besar yang tidak diampuni dengan kafarat ialah sumpah palsu dengan maksud mengambil harta orang lain.  

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

Kesembilan : Tidak mengambil undang-undang Allah SWT dalam memutuskan sesuatu perkara.

Golongan yang mengunakan lidah-lidah mereka untuk menggubal, bersetuju dan membahaskan dan meluluskan rang undang-undang ciptaan manusia walaupun bertentangan dengan  al-Quran dan sunnah dan berhukum dengan hukuman yang di cipta oleh manusia sebenarnya golongan ini meletakkan Allah dan Rasul-Nya  dibelakangnya. Al-Quran melebalkan golongan ini samaada kafir, zalim atau fasik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir" (Surah al-Maidah ayat 44)

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim" (Surah al-Maidah ayat 45)

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang fasik." (Surah al-Maidah ayat 47)

Kesepuluh : Mengumpat.

Ketika Haji Widak, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya darah kamu , dan kehormatan kamu adalah haram atas kamu (mencabulinya) (Hadis Riwayat Jamaah)

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah SAW. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah SAW  di tanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Kesebelas : Mengadu domba (menghasut)

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba."

Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj: "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Kedua belas : Lidah bercabang dua

Maksud lidah bercabang dua adalah seorang yang berulang alik di antar dua orang yang bermusuhan, untuk menyampaikan ucapan salah seorang daripada mereka kepada yang seorang lagi. Tujuannya adalah supaya dia disanjung oleh kedua-dua pihak dan untuk dia mendapat habuan dunia, dan supaya kedua-dua pihak sentiasa bermusuhan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Manusia paling jahat ialah sidua muka, apabila ia mendatangi kelompok  manusia maka ia membawa muka yang satu, dan apabila ia datangi kelompok manusia yang lain maka ia membawa muka yang satu lagi."

Ketiga belas : Memuji

Ini juga termasuk bahaya yang timbul daripada lidah. Sebab , memuji seseorang yang tidak sepatutnya menerima pujian itu atau pujian yang berlebihan yang tidak sesuai dengan hal yang sebenarnya sehingga jatuh kepada dusta atau memuji orang yang sepatutnya dicela.

Suatu pujian sering membuat orang yang menerimanya besar diri dan ujub, sedangkan Nabi SAW melarang demikian.

Nabi SAW berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Apabila engkau disanjung orang dihadapanmu, ucapkanlah : 'Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka katakan, ampunilah dosaku apa yang mereka tidak ketahui, janganlah aku disiksa tentang apa-apa yang mereka ucapkan' . "

Keempat belas : Bersumpah setia kepada selain Allah

Allah SWT telah menerangkan di dalam al-Quran bahawa kita tidak boleh bersumpah setia kepada sesuatu sebagai tandingan bagi keagungan atau kebesaran Allah. Sumpah setia seperti itu boleh menjerumuskan orang berkenaan ke dalam neraka.

Kelima belas : Jangan berkata "kalau" pada kejadian yang telah berlaku.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud ; "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini kerana perkataan “kalau” membuka pintu perbuatan syaitan." (Hadis Sahih Riwayat Muslim , no: 4816)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga lidah kita supaya sentiasa bercakap benar dan janganlah kita menyempang daripada jalan Allah SWT. Allah SWT  sentiasa bersifat benar, begitu juga para rasul bersifat sidek. Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.Mereka berjuang melupuskan segala pendustaan, kepalsuan dan kepura-puraan dalam hidup.Mereka memperjuangkan keadilan dan nilai kemanisan hidup berteraskan kebenaran.

Apabila kebenaran di abaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan lidahnya sentiasa buat pendustaan amalan kehidupan seharian. Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan ummat manusia.Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas, jujur dan didikasi.Benar pada niat dan kemahuan fikiran dan tindakkan dan benar pada kata-kata pernyataanya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikkan dan kebajikan itu membawa kepada Syurga. Seorang yang sentiasa berlaku benar, nescaya akan tercatat di sisinya Allah s.w.t sebagai sidek (org yg benar) dan sesungguhnya bohong membawa keburukkan dan keburukkan itu membawa ke neraka. Seseorang yang suka berbohong, nescaya tercatat disisi Allah SWT sebagai kazab(pembohong)''

 Semoga kita semua patuh dan tunduk kepada semua yang disuruh-Nya dan sentiasa diredai-Nya  di dunia dan akhirat dan dimasukan Allah SWT kedalan syurga-Nya.

Kebaikan dan Fadhilat Ayat Kursi.

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…  


Renungan bersama untuk kita semua

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?"

Sabda Rasulullah S.A.W, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."Umat-umat dahulu hanya sedikit saja yang mempercayai rasul-rasul mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung. Kita sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh Allah dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang al-Qur'an, hadis dan sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat yang terdahulu yang mana mereka itu lebih suka banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mereka beriman.

Setiap satu yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita adalah untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah S.A.W menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi. Kehebatan ayat ini telah ditearngkan dalam banyak hadis. Kehebatan ayat Kursi ini adalah untuk kita juga, yakni untuk menangkis gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya di samping itu kita diberi pahala.
Begitu juga dengan surah al-Falaq, surah Yasin dan banyak lagi ayat-ayat al-Qur'an yang mempunyai keistimewaannya. Setiap isi al-Qur'an itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita umat Islam, janganlah ada sedikit pun keraguan tentang ayat-ayat al-Qur'an, hadis Nabi dan sunnah Baginda S.A.W. Keraguan dan was-was itu datangnya dari syaitan.


AYAT KURSI MENJELANG TIDUR

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun kepintaran Hurairah memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berhasil ditangkapnya.”Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W,” gertak Abu Hurairah.Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek : “Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya banyak, sementara saya sangat memerlukan makanan.”Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin ? Hanya saja, cara memang keliru. Mestinya jangan keliru.Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Maka bertanyalah beliau : “Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?” Ia mengeluh, “Ya Rasulullah, bahawa ia orang miskin, keluarganya banyak dan sangat memerlukan makanan,” jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu,, lalu dilepaskannya.”Bohong dia,” kata Nabi : “Pada hal ia nanti malam ia akan datang lagi.”

Kerana Rasulullah S.A.W berkata begitu, maka penjagaannya diperketat, dan kewaspadaan pun ditingkatkan.Dan, benar juga, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti kelmarin. Dan kali ini ia pun tertangkap.”Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W,” ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin. Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : “Saya orang miskin, keluarga saya banyak. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi.” Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun ia kembali dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan : “Pencuri itu bohong, dan nanti malam ia akan kembali lagi.”Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan kewaspadaan dan kepintaran penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah dan ia berhasil menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah S.A.W ? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya ? “Awas!” katanya dalam hati. “Kali ini tidak akan kuberikan ampun.”

Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul sesusuk bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga. “Nah, benar juga, ia datang lagi,” katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.”Kali ini kau pastinya kuadukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga. Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan lagi. Maka dengan rasa putus asa ahirnya pencuri itu berkata : “Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna.”"Kalimat-kalimat apakah itu?” Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. “Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.”

Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah S.A.W untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi.”Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya.”Ia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan,” jawab Abu Hurairah. “Kalimat apakah itu?” tanya Nabi.

Katanya : “Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia katakan pula : “Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari.”Menanggapi cerita Abu Hurairah, Nabi S.A.W berkata, “Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta.” Kemudian Nabi S.A.W bertanya pula : “Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang ertemu denganmu tiap malam itu?”"Entahlah.” Jawab Abu Hurairah.
“Itulah syaitan.”

Wallahu a'lamu bi al-shawab......